fbpx

Rumah panjang, kampung, asrama pekerja kena PKPD

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Beberapa lokaliti termasuk empat rumah panjang di Batang Oya, Dalat, Sarawak dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) berikutan peningkatan mendadak jangkitan Covid-19 bermula Isnin ini hingga 20 Jun depan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tindakan itu melibatkan Rumah Panjang anak Umba, Rumah Panjang Tulu anak Sli, Rumah Panjang Duah anak Entingi, Rumah Panjang Balin anak Gema selain Sekolah Kebangsaan St. Luke dan Klinik Kesihatan Nanga Baoh.

“Dalam tempoh seminggu, 27 kes positif telah dilaporkan selepas saringan terhadap 40 orang penghuni rumah panjang di lokaliti tersebut,” katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.

Selain itu, pelaksanaan PKPD turut melibatkan Kampung Kampung Gunung Senyum, Kuala Krau, Temerloh, Pahang yang merekodkan 22 kes daripada 112 ujian saringan dengan kadar positiviti 22 peratus.

Arahan PKPD turut dikenakan kepada penghuni asrama pekerja Kilang Eco Medi Glove, Jalan Tembaga Kuning, Taiping, Perak melibatkan Blok A hingga D dalam tempoh yang sama.

“Sehingga kini sebanyak 75 kes positif Covid-19 telah dilaporkan hasil daripada 230 ujian saringan yang dilakukan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dengan kadar kebolehjangkitan tinggi di lokaliti itu,” jelasnya.

Turut dikenakan PKPD berkuat kuasa esok hingga 19 Jun depan ialah Kampung Jelapang Baru dan Kampung Sungai Tapah di Ulu Kinta, Perak dengan 123 penduduk telah disaring.

Ismail berkata, PKPD turut melibatkan beberapa lokaliti di Sabah iaitu Kampung Blok 31, Kampung Sentosa, Blok 5, Hilltop, Kampung Bukit Kukusan, Tanjung Batu di Tawau; Felda Umas 4 di Kalabakan dan Pangsapuri Taman Permata di Sandakan berkuat kuasa 7 Jun hingga 20 Jun depan.

Dalam pada itu, beliau mengumumkan penamatan PKPD di Kilang Silimpopon dan Estet Silimpopon di Kalabakan, Sabah bermula esok dengan KKM telah melakukan 1,193 ujian saringan dengan 180 kes yang dilaporkan telah menerima rawatan dengan kluster adalah terkawal.

“PKPD di Kampung Melikai, Kuala Penyu, Sabah dan PKPD di taman perumahan dan perkampungan sekitar Gau, Temerloh, Pahang turut ditamatkan esok mengikut jadual yang ditetapkan,” ujarnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI