IPOH – Seekor harimau dahan yang ditangkap selepas berkeliaran di Kampung Bukit Bertam dekat Selama Rabu lalu disahkan mati ketika dalam rawatan di Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC) Sungkai.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak, Yusoff Shariff berkata, harimau spesis dilindungi dengan nama saintifik Neofelis Nebulosa itu mati pada pukul 12 tengah malam Khamis lalu.
Katanya, pemeriksaan yang dilakukan mendapati, harimau itu dijangkiti Virus Canine Distemper (CDV).
“Kebiasaannya, haiwan yang dijangkiti CDV ini terpaksa ditidurkan kerana ia adalah penyakit berjangkit.
“Bagaimanapun, harimau dahan ini tidak sempat ditidurkan kerana telah disahkan mati oleh doktor veterinar,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, pemeriksaan mendapati haiwan berkenaan tidak tercekik tulang walaupun keadaannya ketika ditangkap seperti cuba memuntahkan sesuatu.
“Berdasarkan pihak veterinar, harimau itu dipercayai terkena jangkitan daripada bawaan binatang domestik seperti anjing dan kucing,” katanya.
Kosmo! sebelum ini melaporkan, kehadiran harimau jantan berusia antara tujuh ke lapan tahun itu disedari penduduk kira-kira pukul 10.50 pagi.
Haiwan yang kelihatan kelaparan itu dilihat berkeliaran di sekitar rumah penduduk kemungkinan bagi mencari makanan dan dipercayai keluar dari kawasan Hutan Simpan Bintang Hijau. – K! ONLINE