PORT DICKSON – Polis berjaya merampas sebanyak 150 buah mesin bagi aktiviti melombong mata wang digital, Bitcoin dengan anggaran nilai RM600,000 dalam tiga buah serbuan berasingan di sekitar Lukut di sini petang semalam.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superitenden Aidi Sham Mohamed berkata, serbuan telan dijalankan pada pukul 6 petang semalam oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Port Dickson dan pasukan Seal Tenaga Nasional Berhad (TNB).
“Hasil serbuan pertama di Bandar Dataran Segar Lukut, pihak polis telah berjaya merampas sebanyak 70 unit mesin perlombongan Bitcoin di dalam sebuah premis tiga tingkat.
“Manakala dua lagi serbuan di sekitar Lukut Prima pula, rampasan adalah sebanyak 34 unit mesin perlombongan bitcoin di premis kedua manakala di premis ketiga adalah sebanyak 46 unit mesin bitcoin,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Aidi Sham, pasukan TNB juga telah memotong bekalan elektrik di ketiga-tiga premis tersebut kerana disyaki melakukan penyambungan elektrik secara haram untuk menjalankan operasi perlombongan berkenaan.
“Kegiatan perlombongan bitcoin ini dipercayai telah mula beroperasi sejak tiga bulan yang lalu.
“Selain itu, kerugian yang dikesan oleh pihak TNB untuk ketiga-tiga premis tersebut adalah dianggarkan RM40,000 sebulan,” katanya.
Aidi Sham berkata, dalam serbuan tersebut polis turut menahan dua lelaki masing-masing berusia 26 dan 27 tahun yang dipercayai terlibat dalan aktiviti Bitcoin ini.
“Hasil ujian air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis Methaphetamine (Syabu).
“Semakan rekod lampau juga mendapati mereka mempunyai rekod jenayah lampau bersabit kesalahan curi,” katanya. – K! ONLINE