PUTRAJAYA – Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi (KPPK) hari ini mengumumkan pelantikan jawatan pengerusi bagi Lembaga Sawit Malaysia (MPOB) dan Lembaga Getah Malaysia (LGM).
Menterinya, Datuk Mohd. Khairuddin Aman Razali berkata, pihaknya melantik Timbalan Ketua Setiausaha (Perladangan dan Komoditi) KPPK, Mad Zaidi Mohd. Karli sebagai Pengerusi Interim Lembaga Pengarah MPOB untuk terus mengelola lembaga itu.
Beliau berkata, jawatan pengerusi MPOB kosong selepas peletakan jawatan Datuk Ahmad Jazlan Yaakob sebelum digantikan dengan Datuk Ahmad Nazlan Idris pada 15 April lalu.
Bagaimanapun, katanya, Ahmad Nazlan menolak pelantikan itu sebelum melantik Mad Zaidi sebagai Pengerusi Interim Lembaga Pengarah MPOB.
“Selain itu, Raja Datuk Idris Raja Kamaruddin dilantik menjadi Pengerusi LGM bagi menggantikan Ahmad Nazlan berkuat kuasa 15 April lalu,” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.
Katanya, Idris akan menyusun kembali hala tuju hartanah yang dimiliki oleh LGM selain menyelesaikan isu berbangkit melibatkan lima fasiliti di Sungai Buloh yang masih tergendala sejak beberapa tahun yang lalu.
Khairuddin berkata, Idris juga akan menyediakan pelan strategik baru LGM serta LGM Properties Corporation (LGMPC) sebagai anak syarikat yang menguruskan hartanah termasuk ladang-ladang milik LGM.
Menurutnya, pelantikan itu bakal nembawa LGM ke mercu tanda pengurusan yang lebih baik dan profesional, berintegriti serta telus berasaskan konsep tadbir urus rabbani yang ditekankan oleh Menteri kepada semua pengurusan tertinggi KPPK serta agensi di bawahnya. – K! ONLINE