LAGU nyanyiannya barangkali sudah berusia setahun, bukan lagi baharu, namun kian mencuri perhatian ramai apabila TikTok menjalankan magisnya.
Atas alasan tersebut juga, penulis mula diperkenalkan dengan karya artis muda bernama Dhruv. Tidak banyak catatan tentang dirinya dalam carian Google, sekali gus mudah memberi tanggapan bahawa dia memang benar-benar ‘underrated’ (kurang dihargai).
Karya berkenaan berjudul Double Take. Sedap dan pantas melekat di minda bagi sesiapa mudah terjentik dengan seni muzik berkisarkan kasmaran, tambahan pula dihibridkan dengan rentak R&B moden.
Ketepikan dahulu siapa Dhruv, penulis hanya ingin bercerita tentang bagaimana penyanyi seperti Dhruv wajar diberikan ruang dan perhatian selayaknya.
Kasmaran, ‘mentega gred A’
Selain membuatkan sesiapa sahaja terkenangkan kasmaran yang tidak kesampaian, laghu Double Take juga membuatkan kita ‘tersipu-sipu’ sendirian sambil dibelai bait lirik yang dibentangkan Dhruv.
Buat penulis secara peribadi, karya ‘underrated’ ini memberikan semacam pendaratan di lapangan terbang sekitar waktu Subuh dengan gangguan ritma yang masih belum stabil menuju ke rumah menaiki kereta.
Ketika itu, tingkap kereta dibiarkan terbuka. Deruan angin segar awal pagi semacam yang dihirup memasuki minda. Percutian yang baru sahaja berakhir membuatkan fikiran diusik momen-momen indah usai ‘bertemankan’ insan tercinta di negara orang.
Mungkin kedengaran sesuatu yang agak mustahil bagi musim pandemik sekarang tetapi begitulah getaran yang ‘dibisikkan’ lagu berkenaan kepada penulis.
Dari segi komposisi muzik, Double Take merupakan satu lagu R&B moden yang lengkap. Ada improvisasi, dinamik dan permainan muzik yang boleh dikatakan ‘genius’ bagi seorang pemuzik dan penyanyi yang masih baharu.
Dari segi listrik vokal, penulis berani untuk memberi sedikit gambaran bahawa vokal Druv boleh diibaratkan seperti mentega gred A.
Bahan penyedap makanan tersebut dipadankan dengan kombinasi bawang putih sebelum menjayakan apa-apa bentuk kulinari yang biasanya disabitkan dengan makanan Barat.
Itu yang penulis nampak dalam diri Dhruv. Jika diberikan peluang terus menyerlah dan berkarya, tidak mustahil suatu hari nanti, dia boleh berdiri sama tinggi dengan artis lelaki gred A lain, seperti Sam Smith ataupun Giveon.