PETALING JAYA – Rata-rata peniaga ayam di negeri Kelantan dan Johor terpaksa mengurangkan bekalan ayam proses di premis mereka sebagai langkah untuk mengurangkan kerugian bahan mentah itu sekiranya tidak habis dijual sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh.
Pada hari pertama PKP penuh Selasa lalu, ayam proses yang dijual di premis mereka tidak laku berikutan tiada pembeli.
Seorang peniaga ayam di Pasir Puteh, Kelantan, Kadir Ismail, 44, berkata, dia terpaksa mengurangkan separuh bekalan dengan hanya mengambil ayam sebanyak 50 ekor sehari daripada pembekal berbanding 100 ekor ayam sebelum ini.
Katanya, langkah itu berhasil apabila semua ayam habis dijual pada hari kedua (Rabu) PKP Penuh selepas menanggung kerugian pada hari pertama pelaksanaan pada 1 Jun lalu.
“Saya jangka bahawa ayam tidak laku dijual pada hari pertama tempoh PKP baru-baru ini kerana pengguna sudah membeli bekalan itu dalam kuantiti banyak beberapa hari sebelum ini disebabkan pembelian panik.
“Bagaimanapun, peniaga-peniaga sudah dapat agak dan kini kami mengurangkan bekalan jualan ayam. Setakat hari ini (semalam), kira-kira 50 ekor ayam yang dijual di premis saya habis licin,” katanya ketika ditemui Kosmo! semalam.
Tinjauan Kosmo! di beberapa premis di daerah ini mendapati, harga ayam masih kekal RM6.90 berbanding RM7.90 sebelum ini.
Bagi peniaga ayam, Razak Abdullah, 35, berkata, sekiranya bekalan ayam tidak habis, kebanyakan peniaga akan memotong bahan mentah itu mengikut bahagian tertentu sebelum disejuk beku dan dijual semula.
“Perniagaan ayam segar kembali rancak apabila orang ramai sudah keluar semula membeli barangan rumah. Ayam di premis saya habis pada pukul 12.30 tengah hari hari ini (semalam).
“Bagaimanapun, kita tidak boleh menjangka sama ada ayam akan habis atau tidak. Ia bergantung kepada keperluan pelanggan dan peniaga juga terpaksa mengurangkan bekalan sehingga PKP penuh tamat,” katanya.
Dalam pada itu di Pontian, Johor, seorang peniaga ayam, Faizal Abdullah berkata, harga ayam dijangka akan turun antara 30 sen hingga 50 sen sepanjang PKP ini.
Ujarnya, dalam beberapa hari lagi, peniaga ayam jangka harga ayam akan turun disebabkan terdapat lambakan ayam di ladang oleh penternak.
Kosmo! kelmarin melaporkan rungutan peniaga ayam di beberapa daerah di Kelantan dan Johor mengenai lambakan ayam proses yang tidak walaupun dijual dengan harga RM6.90 sekilogram berbanding harga asal RM7.90 ia tetap tidak habis dijual pada hari pertama PKP penuh Selasa lalu.