fbpx

Kenderaan mewah bernilai RM1.2 juta dirampas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara kenderaan MPV mewah yang dirampas Kastam Johor baru-baru ini. /FOTO IHSAN KASTAM JOHOR

JOHOR BAHRU – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor merampas enam kenderaan import tanpa cukai bernilai RM1.2 juta dalam tiga serbuan berasingan sekitar daerah ini, hujung bulan lalu.

Pengarah JKDM Johor, Sazali Mohamad berkata, serbuan pertama dilakukan ke atas sebuah premis perniagaan di Jalan Kebun Teh pada pukul 3 petang, 25 Mei lalu.

“Premis perniagaan itu dijadikan tempat menyimpan tiga kenderaan pelbagai guna (MPV) import terpakai dipercayai tanpa kelulusan kastam dianggarkan bernilai RM220,000 dengan duti dan cukai bernilai RM424,930.

“Susulan sitaan itu, seorang lelaki warga tempatan berusia 42 tahun ditahan untuk membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, serbuan kedua pula dilakukan di sebuah premis perniagaan di Lebuh Raya Pasir Gudang pada pukul 1.30 petang, 27 Mei lalu.

Katanya, dalam serbuan itu, pihaknya merampas dua unit kenderaan persendirian import terpakai yang dipercayai dipindahkan dari gudang kastam tanpa kelulusan ke premis berkenaan.

JKDM menyita dua unit MPV dianggarkan bernilai RM160,000 termasuk menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 23 tahun untuk membantu siasatan.

“Bagi kes ketiga, serbuan dilakukan di kawasan perumahan di Taman Indahpura, Kulai pada pukul 5.30 petang, Isnin lalu dan merampas sebuah kenderaan import dipercayai memasuki negara ini tanpa permit yang sah dari negara jiran.

“Kenderaan import yang dipercayai tidak berkastam ini dianggarkan bernilai RM40,000 dengan nilai duti dan cukai sebanyak RM 77,260. Usaha mengesan pemilik kenderaan sedang giat dijalankan,” katanya. -K! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI