PEMBATALAN beberapa kejohanan dalam kalendar saingan tahun ini dilihat memberi kesan cukup besar kepada penembak negara, Johnathan Wong bagi menghadapi dua temasya penting tahun depan.
Pemenang pingat emas Sukan SEA 2017 menerusi acara 10m air pistol itu mengakui persiapannya untuk temasya Sukan Asia dan Komanwel 2022 sedikit terjejas selepas beberapa pertandingan tempatan dan antarabangsa dibatalkan.
Bagaimanapun, atlet kelahiran Melaka itu tetap bersyukur kerana masih diberi peluang untuk menjalani latihan di Majlis Sukan Negara (MSN) selepas pelaksanaan sekatan pergerakan penuh oleh kerajaan.
“Dengan situasi lockdown sekarang, beberapa pertandingan tempatan sudah dibatal dan ditangguhkan, namun saya tetap gembira kerana kami masih dibenarkan menjalani latihan secara kuarantin di MSN.
“Menerusi pembatalan kejohanan, secara tidak langsung ia menjejaskan persiapan untuk Sukan Asia dan Komanwel tahun depan. Bagaimanapun, kita terpaksa akur kerana ia berada di luar kawalan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Memandangkan kejohanan fizikal dibatalkan, Johnathan mengambil inisiatif dengan menyertai beberapa kejohanan yang dianjurkan secara maya biarpun mengakui suasana pertandingan tidak sama seperti kebiasaan.
“Walaupun situasi sekarang tidak membenarkan kejohanan fizikal tetapi kami menjalani simulasi serta menyertai pertandingan secara fizikal yang boleh membantu kami kekal kompetitif.
“Secara jujur, saya sangat rindukan kejohanan sebenar kerana suasananya cukup berbeza dan kompetitif. Ia mampu mencabar saya bagi meningkatkan tahap keyakinan diri,” ujarnya.
Sebagai rekod, atlet berusia 29 tahun itu pernah menyuarakan hasrat untuk bersara selepas terkesan dengan pandemik Covid-19 yang melanda seluruh negara.