fbpx

Mental skuad Harimau Malaya rabak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
CHENG HOE bagaikan terkedu menyaksikan skuad Harimau Malaya rebah dengan keputusan 0-4 kepada UAE pada aksi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Zabeel, Dubai awal pagi semalam. – FAM/NASIRRUDDIN YAZID

KETUA jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe kecewa de­ngan kekalahan 0-4 kepada Emiriyah Arab Bersatu (UAE) pada aksi Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Zabeel, Dubai awal pagi semalam.

Lebih malang, Cheng Hoe, 53, mengakui terkejut dengan kehilangan fokus serta ­tumpuan anak-anak buahnya dalam tempoh 10 minit terakhir hingga mengakibatkan Harimau Malaya bolos tiga gol bermula minit ke-83, 91 dan 93.

“Pemain sudah memberikan komitmen terbaik tetapi ia masih belum mencukupi untuk kami meraih keputusan positif. Mereka sudah tentu sangat kecewa dengan kekalahan besar ini.

“Ini adalah kali pertama kami kalah dengan jumlah empat gol sepanjang kempen kelayakan. Kami tidak bermain sebagai satu pasukan ketika bertahan dan memberi banyak ruang kepada UAE untuk menghukum kita.

“Keputusan yang mengecewakan kerana kita tidak bermain permainan sebenar. Kita kurang fokus dan tidak yakin dengan diri sendiri, akhirnya kita ‘rebah’ selepas minit ke-80,” katanya.

Kehadiran dua pemain naturalisasi baharu, Liridon Krasniqi dan Guilherme De Paula dilihat gagal membantu Harimau Malaya yang hilang arah dalam tempoh 90 minit perlawanan hingga melepaskan empat gol kepada Ali Ahmed Mabkhout dan Fabio Virginio De Lima.

Kekalahan itu menyaksikan Harimau Malaya jatuh ke tangga keempat dan kini berdepan misi wajib menang dalam baki dua aksi terakhir di Stadium Al-Maktoum menentang Vietnam di Stadium pada 12 Jun ini diikuti Thailand empat hari kemudian.

Cheng Hoe juga tidak menolak kemungkinan merombak kesebe­lasan utama bertemu Vietnam yang masih belum tewas dalam rekod lima perlawanan terakhir menentang Harimau Malaya.

“Moral para pemain begitu rendah sekarang. Kita akan berbincang mencari formula terbaik agar bersedia menghadapi corak permainan agresif Vietnam.

“Para pemain tahu kepentingan dua perlawanan seterusnya kerana tiada jalan lain sekiranya kita ingin pergi lebih jauh. Saya harap mereka bangkit daripada kekalahan ini,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN