fbpx

Keputusan SPM 2020 diumum 10 Jun ini – KPM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keputusan SPM akan diumumkan pada Khamis depan. - Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2020 akan diumumkan pada Khamis depan.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menerusi kenyataan akhbar hari ini berkata, keputusan itu akan diumumkan mulai jam 10 pagi dan semakan boleh dibuat menerusi beberapa saluran.

Menurutnya, calon sekolah dan calon persendirian boleh membuat semakan secara dalam talian di pautan myresult1.moe.gov.my atau myresult2.moe.gov.my untuk mendapatkan keputusan penuh.

“Calon juga boleh menyemak keputusan  menerusi perkhidmatan SMS untuk mendapatkan ringkasan keputusan SPM 2020 dengan menaip SPM<jarak>NoKP<jarak>AngkaGiliran dan hantar ke 68886.

“Perkhidmatan ini akan diaktifkan mulai pukul 10 pagi pada 10 Jun ini sehingga pukul 6 petang pada 17 Jun 2021,” katanya.

Jelasnya, bagi calon sekolah yang tidak mempunyai capaian internet, pihak sekolah akan mengenal pasti calon tersebut dan memaklumkan kaedah yang sesuai untuk mendapatkan keputusan peperiksaan.

Selain itu, bagi calon persendirian yang tidak mempunyai capaian internet pula, pihak Jabatan Pendidikan Negeri/Pejabat Pendidikan Daerah akan mengenal pasti calon persendirian tersebut dan memaklumkan kaedah yang sesuai untuk mendapatkan keputusan peperiksaan.

SPM 2020 disifatkan KPM sebagai peperiksaan yang paling mencabar dalam sejarah 57 tahun pelaksanaannya kerana ia dikendalikan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ketat susulan penularan wabak Covid-19.

Buat julung kalinya peperiksaan SPM 2020 mengikut Garis Panduan Pengurusan Pentaksiran Pusat dan Peperiksaan Awam iaitu perkara 10 dalam Garis Panduan Pengoperasian dan Pengurusan Sekolah dalam Norma Baharu 2.0.

Seramai 401,105 calon mendaftar peperiksaan SPM 2020 yang lalu bagi 83 kertas peperiksaan di 3,310 pusat peperiksaan di seluruh negara. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI