BAKU – Pelumba pasukan Mercedes, Lewis Hamilton menegaskan, dia tidak kisah mengenai sayap belakang fleksibel yang dimiliki jentera pasukan pencabar, Red Bull.
Meskipun perkara itu menjadi perdebatan dalam beberapa perlumbaan sebelum ini, namun dia yang juga juara dunia tujuh kali berkata, fokusnya hanyalah pada perlumbaan Grand Prix (GP) Azerbaijan di Litar Baku esok.
Sayap belakang Red Bull itu mungkin bakal disiasat Persekutuan Permotoran Antarabangsa (FIA) sama ada penggunaannya dibenarkan ataupun tidak kerana memberi kelebihan kepada jentera ketika di laluan lurus.
“Sekarang saya tidak mahu fikir mengenai perkara itu kerana ia tidak bawa sebarang perubahan. Mereka (Red Bull) sudah lulus ujian yang dibuat, jadi kita teruskan perlumbaan seperti biasa.
“Sudah tentu mereka ada kelebihan ketika berada di laluan lurus untuk melakukan catatan masa lebih pantas. Saya harap ada peraturan lebih ketat berhubung perkara ini ada masa depan,” katanya.
Pelumba kelahiran Britain itu turut mengakui kecewa dengan prestasi yang ditampilkan pada GP Monaco dua minggu lalu, namun dia bertanggungjawab atas keputusan mengecewakan itu.
“Tidak ada sesiapa yang perlu dipersalahkan kerana saya sendiri buat keputusan pada perlumbaan itu. Sebagai satu pasukan, kami sentiasa bekerjasama untuk bergerak ke hadapan,” ujarnya. – AGENSI