fbpx

Bicara rasuah Guan Eng ditunda Julai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Guan Eng.

KUALA LUMPUR – Perbicaraan kes rasuah bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berhubung pembinaan terowong dasar laut dan projek pembinaan jalan yang sepatutnya bermula 8 Jun ini ditunda ke Julai.

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Wan Shaharudin Wan Ladin ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut Wan Shaharudin, setakat ini tarikh baharu ditetapkan mahkamah bagi perbicaraan itu adalah pada 12 hingga 16 Julai ini.

“Pada tarikh itu (12 Julai hingga 16 Julai) pihak pendakwaan menjangkakan seramai lapan saksi akan dipanggil memberi keterangan,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat mengarahkan pengendalian kes-kes antaranya semua perbicaraan dan pendengaran kes sivil dan jenayah ditetapkan secara kehadiran fizikal hendaklah ditangguhkan ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pada prosiding yang lalu, Hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi yang akan mendengar perbicaraan itu telah menetapkan  tarikh perbicaraan pada 8 hingga 11 Jun, 12 hingga 16 Julai, 28 dan 29 Julai, 16 hingga 20 Ogos, 6 hingga 10 September, 20 hingga 24 September dan 13 hingga 17 Disember.

Mengikut pertuduhan pindaan pertama, Guan Eng, 61, didakwa sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Ketua Menteri Pulau Pinang telah menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan bagi dirinya sendiri wang berjumlah RM3.3 juta dengan mengambil tindakan bagi membantu syarikat milik Datuk Zarul Ahmad Mohd. Zulkifli yang dilantik untuk melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang yang bernilai RM6.3 bilion.

Kesalahan itu didakwa dilakukan antara Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, KOMTAR, Georgetown, Pulau Pinang mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, Guan Eng didakwa semasa menjawat jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang telah meminta suapan iaitu balasan berjumlah 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh kelak daripada Zarul sebagai upah bagi melakukan perkara yang dicadangkan iaitu membantu syarikat milik ahli perniagaan tersebut dilantik untuk projek sama. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI