PETALING JAYA – Perbuatan zalim seorang lelaki menyeret seekor kucing sambil menunggang motosikal yang bergerak laju mendapat kecaman netizen di media sosial.
Menerusi perkongsian Persatuan Haiwan Malaysia (Animal Malaysia) di laman Facebooknya memaklumkan, kejadian tersebut dipercayai berlaku di sebuah kawasan di Langkap, Perak dan kejadian itu berjaya dirakam pemandu kereta.
Berdasarkan klip video berdurasi 34 saat itu memaparkan seorang lelaki sedang menyeret seekor kucing berwarna coklat dengan menunggang sebuah motosikal.
Kelihatan kucing itu tidak dapat melepaskan dirinya kerana dipercayai telah diikat pada bahagian kaki belakangnya dan difahamkan kucing itu telah mengalami kecederaan pada muka dan beberapa bahagian badan lain.
Justeru, Animal Malaysia menggesa saksi kejadian supaya segera lapor kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Perak agar tindakan dapat diambil terhadap pelaku.
“Difahamkan kucing yang diseret adalah kucing milik jiran pelaku. Walau apa pun alasan sama ada masalah kacau ganggu atau masalah hubungan kejiranan.
“Menzalimi haiwan adalah satu jenayah di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015. Perbuatan ini di penjara maksimum tiga tahun dan denda maksimum RM100,000.00,” katanya di laman Facebook hari ini.
Sementara itu, rata-rata netizen mengecam perbuatan lelaki tersebut dan menganggap perbuatan itu lebih zalim daripada binatang dan tidak berperikemanusiaan.
Pada masa sama, netizen menggesa agar pelaku segera ditangkap dan dikenakan tindakan yang sewajarnya oleh pihak berkuasa.-K! ONLINE.