PETALING JAYA – Tindakan seorang penghantar makanan Food Panda menghalang seorang lelaki yang lari dari dikejar oleh pihak polis menggunakan motosikalnya mendapat perhatian dan pujian oleh pengguna di laman Twitter sejak semalam.
Menerusi satu video dari televisyen litar tertutup yang berdurasi 36 saat itu memaparkan seorang penghantar makanan yang menaiki motosikalnya dan menghalang seorang lelaki yang dikejar oleh pihak polis pada waktu itu dengan motosikal tersebut.
Rata-rata pengguna laman Twitter memuji sikap yang ditunjukkan oleh penghantar makanan tersebut kerana berani menghalang lelaki yang dikejar oleh pihak polis ketika itu.
Seorang pengguna dengan nama @hydesign_my berkata, memuji sikap penghantar makanan terbabit kerana memudahkan kerja pihak berkuasa.
“Ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh ada yang sedang stres, jadi, jika dapat tangkap seorang penjahat, mesti seronok kerana dapat membantu dan memudahkan kerja pihak berkuasa,” ciap @hydesign_my.
Menurut seorang pengguna laman Twitter, @ImanKeisuke, berkata, kejadian tersebut dipercayai berlaku di sekitar KK Mart berdekatan Bandar Sunway Jalan PJS9, Petaling Jaya.
Tambah @chubb, dia memuji penghantar makanan terbabit yang berani mengejar penjenayah.
“Abang Food Panda memang sentiasa ada di saat memerlukan. Terbaiklah abang Food Panda,” puji @chubbb__ kepada penghantar makanan tersebut. – K! ONLINE