fbpx

Pahang peruntuk RM9.3 juta untuk BPP fasa dua

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Wan Rosdy Wan Ismail

KUANTAN – Kerajaan negeri mengumumkan peruntukan berjumlah RM9.3 juta bagi melaksanakan program Bantuan Prihatin Pahang (BPP) Covid-19 Fasa Dua.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, bantuan itu adalah susulan kepada BPP Covid-19 Fasa Satu yang sudah dilaksanakan kerajaan negeri pada 24 Mei lalu.

“Untuk Fasa Satu, kerajaan Pahang memperuntukkan RM7.8 juta yang diagihkan kepada golongan miskin tegar, orang kelainan upaya (OKU) dan warga emas.

“Bagi BPP Fasa Dua, kita memberi perhatian kepada pengusaha bot dan pemandu pelancong, operator kantin sekolah dan pekerja mereka, penyedia perkhidmatan penghantaran, pemandu e-hailing dan sukarelawan di pusat pemberian vaksin (PPV) di seluruh Pahang,” katanya di sini, hari ini.

Wan Rosdy berkata, pengagihan BPP Fasa Dua juga merangkumi masyarakat Orang Asli dan bantuan itu akan diselaraskan Tok Batin masing-masing.

Katanya, penduduk kampung yang berdepan masalah terjejas sumber pendapatan mereka juga akan menerima manfaat melalui BPP Fasa Dua ini dan pengagihan bantuan akan dilakukan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung (JKKK) kawasan terbabit.

Tambahnya, turut menerima manfaat melalui BPP Fasa Dua ini ialah ahli Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia dan Persatuan Bekas Polis Malaysia serta penggiat seni.

“Seperti BPP Fasa Satu, bantuan kali ini juga akan diberikan dalam bentuk wang tunai dan barangan keperluan asas melalui (penyerahan) bakul makanan.

“Secara keseluruhannya, kerajaan Pahang menyediakan peruntukan berjumlah RM17.1 juta bagi memastikan BPP Fasa Satu dan Fasa Dua dapat dilaksanakan untuk kepentingan rakyat negeri ini,”ujarnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI