PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bersetuju memberikan kelulusan pendaftaran bersyarat bagi vaksin Covid-19 keluaran AstraZeneca daripada pengilang kedua iaitu Siam Bioscience Co., Ltd, Thailand.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, kelulusan itu dibuat pada Mesyuarat Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) kali ke-358 yang bersidang hari ini.
Beliau berkata, pengilang kedua itu adalah pengeluar yang akan menjadi sumber bekalan vaksin AstraZeneca bagi kegunaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) di negara ini.
Katanya, bekalan vaksin AstraZeneca yang bakal diterima daripada pengilang Siam Bioscience Co., Ltd itu dijangka dapat mempertingkatkan kadar vaksinasi di bawah PICK dengan lebih pantas.
“KKM ingin memaklumkan bahawa kelulusan pendaftaran secara bersyarat ini memerlukan syarikat Pemegang Pendaftaran Produk iaitu AstraZeneca Sdn. Bhd., mengemukakan data-data tambahan dan terkini produk vaksin tersebut dari semasa ke semasa.
“Ia bagi memastikan kualiti, keberkesanan dan keselamatannya sentiasa dikemas kini dan perbandingan manfaat-risiko (benefit over risk) vaksin ini kekal positif,” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini hari ini.
Noor Hisham berkata, sebelum ini, PBKD meluluskan pendaftaran bersyarat bagi pengilang Medimmune Pharma B.V., Belanda pada 2 Mac lalu yang merupakan pengeluar bagi bekalan vaksin Covid-19 AstraZeneca ke negara-negara Eropah.
Katanya, buat masa ini, kerajaan membuat perolehan vaksin Covid-19 keluaran AstraZeneca melalui dua kaedah iaitu secara terus dengan pengeluar dan juga melalui fasiliti COVAX.
“Malaysia telah mula menerima bekalan di bawah fasiliti COVAX pada April lalu,” katanya.
Sementara itu, KKM juga akan sentiasa mempertingkatkan tahap kesihatan awam dalam memerangi wabak Covid-19 melalui perolehan bekalan vaksin yang telah dinilai daripada aspek kualiti, keselamatan dan keberkesanan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) dan diluluskan oleh PBKD.
“Kerajaan juga komited untuk memastikan penduduk dewasa Malaysia mencapai imuniti kelompok selaras dengan sasaran PICK,” katanya. – K! ONLINE