PENAMPANG – Empat mangsa lemas di Pantai Gorongon, Kampung Contoh, Petagas Selasa lalu disahkan negatif Covid-19.
Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim memaklumkan jenazah semua mangsa lemas sudah diserahkan kepada keluarga selamat dikebumikan semalam.
“Proses bedah siasat juga sudah selesai dijalankan sebelum ujian Covid-19 dibuat ke atas semua mangsa.
“Keputusan ujian Covid-19 menunjukkan keempat-empat mangsa adalah negatif,” katanya ketika ditemui hari ini.
Bagaimanapun, Mohd Haris berkata, pihaknya masih meneruskan siasatan bsrkaitan punca kematian empat-empat mangsa berkenaan.
Menurut beliau, siasatan masih diteruskan sehinggalah kita memperoleh laporan bedah siasat daripada pihak hospital.
Terdahulu, jenazah tiga beradik lemas bersama sepupu dalam kejadian di Pantai Gorongon berhampiran Kampung Contoh, Putatan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Orang-orang Islam Kampung Contoh kira-kira pukul 3 petang semalam.
Tiga beradik yang dikenali sebagai Korais Amit, 8, Noraini Amit, 13, Rafidah Amit,14, serta sepupu mereka Galang Naim,17 dikebumikan dalam dua liang lahat mengikut jantina selepas dimandikan dan disembahyangkan di Masjid As-Salam Kg Contoh, Petagas.
Acara pengebumian hanya dihadiri keluarga terdekat bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0. – K! ONLINE