JASIN – Suasana di Jeti Nelayan Pantai Siring di sini gempar selepas seekor buaya tembaga sepanjang 3.6 meter ditemui tersangkut di jaring nelayan, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.50 petang itu, buaya tersebut bagaimanapun telah diselamatkan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Melaka.
Pengarah Perhilitan Melaka, Mohd. Firrdhaus Mahmood berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian tersebut kira-kira pukul 6 petang dan sepasukan enam penguat kuasa dikejarkan ke lokasi.
“Setiba di lokasi pasukan kita mendapati terdapat seekor buaya tembaga atau nama saintifiknya Crocodylus Porosus sedang bergelut selepas tersangkut di jaring nelayan.
“Buaya sepanjang 12 kaki itu bagaimanapun berjaya dijinakkan dan diselamatkan dua jam kemudian,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Tambahnya, turut berada di lokasi bagi membantu adalah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) dan Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya.
Mengulas lanjut, Mohd. Firrdhaus berkata, pihaknya percaya buaya tersebut telah berenang dari Sungai Muar, Johor dan berkeliaran di kawasan berkenaan bagi mencari makanan.
“Kami syaki buaya tembaga ini datang dari Sungai Muar dan naik ke atas (laut di Pantai Siring) bagi mencari makanan.
“Kita juga belum pernah menerima laporan mengenai kehadiran buaya tembaga di kawasan itu, namun aduan paling terhampir adalah di Sungai Kesang,” katanya.
Katanya, pemeriksaan awal pada buaya tersebut juga tidak menjumpai sebarang kecederaan dan telah dibawa ke Paya Indah Wetlands untuk tindakan lanjut. – K! ONLINE