TAMPIN – Tiga buah premis perniagaan di sekitar daerah ini dikenakan kompaun masing-masing sebanyak RM10,000 susulan didapati masih berdegil beroperasi semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Penuh atau lockdown Fasa Pertama bermula sejak 1 Jun lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Tampin merangkap Yang DiPertua (YDP) Majlis Daerah Tampin (MDT), Suhaiza Sharudin berkata, kesalahan berkenaan disedari oleh tiga anggota pasukan penguatkuasa MDT yg membuat tugasan rondaan dan pemantauan pematuhan SOP di kawasan operasi MDT dari pukul 9 hingga 11.30 pagi.
Menurutnya, hasil pemantauan mendapati terdapat tiga buah kedai yang menjalankqn operasi perniagaan yang tidak dibenarkan dan bukanlah merupakan keperluan dalam tempoh perlaksanaan lockdown ini.
“Kompaun telah dikeluarkan kepada tiga pemilik kedai iaitu kedai menjual perabot, kedai alat telekomunikasi dan kedai menjual komputer. Dua daripadanya terletak di kawasan Gemencheh, manakala, satu lagi di Air Kuning.
“Arahan ini sudah dikeluarkan sejak 1 Jun lagi, namun semalam kita dapati masih ada yang berdegil dan beroperasi walaupun tidak tersenarai dalam operasi perniagaan yang dibenarkan,” katanya, di sini, tadi.
Suhaiza berkata, kesemuanya dikenakan kompaun gagal mematuhi SOP PKP yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan kompaun di keluarkan dibawah Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.
Menurutnya, dia berharap agar semua pihak terutamanya pekedai dapat mematuhi SOP PKP kerana kegagalan berkenaan akan berhadapan tindakan undang-undang. – K! ONLINE