SEBERANG PERAI – Seorang juruteknik kilang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Butterworth di sini hari ini atas 13 pertuduhan merogol dan melakukan amang seksual terhadap anak perempuannya sejak 12 tahun lalu.
Tertuduh berusia 45 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan-pertuduhan itu dibacakan ke atasnya di hadapan Hakim Noorhayati Mohamad Yunus.
Lelaki itu berdepan dengan 12 pertuduhan merogol seorang gadis yang kini berusia 18 tahun dan satu pertuduhan melakukan amang seksual terhadap individu sama.
Dia yang dilihat tenang di kandang tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di antara tahun 2009 hingga 2020 di sebuah rumah di Taman Seri Delima, Bukit Mertajam di sini.
Bagi pertuduhan merogol, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 376B(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak lebih 30 tahun serta sebatan.
Manakala, bagi kesalahan amang seksual, dia didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.
Kes berkenaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Syeqal Che Murat, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Kes itu akan disebut semula pada 13 Julai depan, manakala tertuduh tidak dibenarkan diikat jamin.
Kosmo! baru-baru ini melaporkan, tindakan seorang bapa menjadikan anaknya sebagai tempat pemuas nafsu selama 12 tahun terbongkar selepas gadis berkenaan yang kini berusia 18 tahun tampil membuat laporan polis.
Dia membuat laporan itu apabila tidak tahan diperlakukan sedemikian selepas kali terakhir dicabul bapanya itu minggu lalu.
Hasil siasatan polis mendapati, mangsa mendakwa dirogol oleh bapanya sejak berusia enam tahun dan turut mendakwa pernah diliwat. – K! ONLINE