fbpx

Jangan goyang kenyataan Oltmans

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
RAZIE (kanan) mahu rakan-rakan sepasukan membuktikan bahawa dakwaan Oltmans terhadap Malaysian Tigers adalah sebaliknya dengan memenangi pingat emas Sukan Asia 2022 nanti.

TONGGAK pertahanan berpengalaman skuad hoki negara, Muhammad Razie Abd. Rahim kini bersemangat untuk membuktikan tanggapan bekas ketua jurulatih, Roelant Oltmans terhadap mereka adalah salah.

Oltmans, 66, membuat kenya­taan kontroversi beberapa hari selepas pengendali dari Belanda itu melepaskan jawatannya pada Isnin lalu apabila mendakwa Malaysian Tigers tidak mampu me­raih pingat emas Sukan Asia 2022 di Hangzhou, China.

Jika dilihat dari satu sudut berbeza, Oltmans seolah-olah mencabar barisan pemain agar membuktikan kepadanya bahawa skuad negara sebenarnya mampu mencapai sasaran itu sekali gus layak ke Sukan Olimpik 2024 di Paris, Perancis.

“Saya tidak boleh cakap apa, sebab itu pandangan beliau. Kita pun tidak boleh halang pandangan orang lain tetapi kami semua masih memegang misi utama iaitu mahu layak ke Olimpik (2024).

“Kami boleh jadikannya sebagai pembakar semangat untuk membuktikan kenyataan itu adalah salah. Kami akan buktikan,” kata Razie selepas tamat sesi latihan di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur semalam.

Razie yang sudah mempunyai 281 kaps antarabangsa sejak tahun 2007, percaya tempoh masa dua tahun sekarang mencukupi untuk membuktikan kepada Oltmans bahawa skuad negara mampu memenangi pingat emas Sukan Asia buat kali pertama.

Sementara itu, perancang bahagian tengah skuad negara, Muhammad Marhan Abdul Jalil juga enggan ambil pusing kenyataan tersebut kerana tiada sesiapa dapat meramalkan apa akan berlaku pada masa depan.

“Kami akan memberikan yang terbaik untuk memastikan pingat emas Sukan Asia 2022 menjadi milik kami. Saya juga mahu mengucapkan selamat maju jaya untuk masa depan beliau (Oltmans),” jelasnya.

Apa yang pasti, satu cabaran besar bakal menanti ketua jurulatih baharu, Arul Selvaraj dan barisan pemain dalam meraih kejayaan di pentas lebih tinggi yang tidak sempat dirasai Oltmans sepanjang 22 bulan beliau bersama skuad negara.

Pencapaian terbaik Malaysian Tigers di pentas Sukan Asia adalah memenangi pingat perak pada edisi Guangzhou 2010 dan Jakarta-Palembang 2018. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI