PETALING JAYA – Penyanyi dan pengacara, Daiyan Trisha mengakui sangat tersentuh dan pening memikirkan nasib mereka yang terkesan dengan Covid-19 hingga sanggup mengeluarkan wang sendiri bagi membantu mereka.
Daiyan Trisha, 28, memberitahu, luahan rakyat di media sosial telah menggerakkan hatinya untuk menghulurkan bantuan.
“Bila saya baca berita mengenai mereka yang terkesan, hati saya sangat tersentuh sehingga pening memikirkan keadaan mereka. Tidaklah banyak tapi saya bantu ikut kemampuan.
“Paling kasihan apabila ada individu mesej saya di Instagram minta dibantu kerana tiada duit membeli susu. Pelajar universiti juga ada minta bantuan,” kata pemilik nama lengkap Daiyan Trisha Mohd. Nasaruddin itu.
Tambahnya, dia juga kerap berkongsi maklumat mengenai badan dan pertubuhan kebajikan yang boleh dihubungi di Instagram kepada mereka yang memerlukan.
Menurut pelakon drama Projek: Anchor SPM itu, dia mengambil peluang menggunakan Instagram untuk membantu seramai mungkin orang yang terkesan.
“Perasaan empati menebal dalam jiwa saya dan saya cuba letakkan diri saya dalam kehidupan mereka. Itu yang perlu kita semua lakukan,” katanya.
Sejak akhir-akhir ini, Daiyan Trisha kerap memuat naik ciapan dalam Twitter mengenai isu berkaitan masyarakat dan pandemik Covid-19 dan mereka yang masih belum mendapat suntikan vaksin.