PADA petang Selasa lalu, Nada Hamza seperti biasa memandu kereta untuk pulang ke kediamannya dari tempat kerja di Beirut, Lebanon.
Namun, ketika melalui sebatang jalan berhampiran pelabuhan Beirut, wanita itu terdengar satu letupan kecil yang agak hampir dengannya kira-kira dari jarak 1 kilometer (km).
Letupan yang berlaku pada pukul 6.05 petang waktu tempatan itu telah mewujudkan asap hitam di ruang udara bandar berkenaan sekali gus menarik perhatian orang ramai.
Nada lantas membuka tingkap keretanya untuk bertanyakan orang di sekeliling mengenai situasi sebenar yang berlaku. Dalam benak fikirannya, mungkin berlaku pertempuran hebat antara penunjuk perasaan dengan pihak pemerintah di kawasan sekitar.
Ketika orang ramai masih terpinga-pinga, satu letupan kuat menggegarkan ibu kota Lebanon itu. Kali ini kekuatannya jauh lebih dahsyat daripada letupan pertama.
Serentak itu seluruh jalan raya dipenuhi kaca daripada bangunan-bangunan yang runtuh. Kemalangan jalan raya berlaku di sana sini kerana orang ramai berusaha menyelamatkan diri dan mengelak batu runtuhan.
“Saya terus keluar dan meninggalkan kereta di tengah jalan raya. Saya lari bersembunyi di sebuah bangunan tetapi bangunan itu juga runtuh.
“Saya betul-betul bingung dan ketakutan. Kawasan sekitar musnah teruk,” katanya ketika dihubungi agensi berita CTV News Channel.
Letupan kuat berkenan telah menyebabkan kepulan asap putih tebal berbentuk seperti cendawan di ruang udara serta memecahkan tingkap-tingkap bangunan dan rumah sejauh beberapa kilometer.
Menurut pusat geosains Jerman, letupan tersebut mencetuskan gegaran gempa bumi berskala 3.5 magnitud.
Letupan berkenaan turut didengar dan dirasakan oleh negara jiran, Cyprus yang terletak 200 kilometer (km) dari Beirut.
Jumlah sebenar mangsa letupan berkenaan masih belum diketahui, namun wakil pemerintah mengatakan setakat ini lebih 100 orang terkorban dan seramai 4,000 lagi cedera.
Salah seorang saksi yang juga penerbit kanan di Alaraby TV, Ahmed Yassine berkata, dia melihat kepulan asap seperti awan menutupi ruang sekitar bandar tersebut.
“Kereta saya melambung dan orang-orang seperti berterbangan. Kedai, pangsapuri, rumah dan semuanya runtuh. Orang ramai berlari sambil menjerit,” ceritanya.
Perkara yang tidak boleh dilupakan Yassine dalam kejadian berkenaan adalah melihat kemusnahan kawasan sekitar dengan suasana menakutkan apabila kaca, batu dan bangunan retak.
Presiden Lebanon, Michel Aoun menerusi laman Twitter menyalahkan bahan letupan yang disimpan dalam sebuah gudang pelabuhan selama enam tahun sebagai punca.
“Tidak dapat diterima 2,750 tan ammonium nitrat disimpan secara tidak selamat,” tulisnya selepas beberapa jam letupan berlaku.
Ammonium nitrat mempunyai dua fungsi utama iaitu digunakan sebagai baja dalam pertanian dan bahan letupan. Ammonium nitrat ialah garam ionik yang terdiri daripada kation ammonium (NH4) dan anion nitrat (NO3) sehingga menjadi formula senyawa ammonium nitrat (NH4NO3). Sebatian kimia berkenaan sangat mudah meletup apabila terkena api dan akan melepaskan gas toksik termasuk nitrogen oksida serta ammonia.
Bahan berkenaan pernah digunakan sebagai bahan peledak dalam pengeboman di Delhi pada 2011 dan Hyderabad (2013) di India.
Sementara itu, Pengarah Kastam Lebanon, Badri Daher menuding jari ke arah Ketua Pelabuhan Beirut, Hassan Koraytem sebagai penyebab kepada berlakunya letupan berkenaan.
“Mereka patut bertanggungjawab, bahan letupan ini tidak seharusnya disimpan dalam tempoh yang lama,” ujarnya.
Siasatan masih dilakukan oleh pihak berkuasa bagi mencari pencetus letupan berkenaan. Majlis Tertinggi Pertahanan Lebanon memberi amaran, mereka yang bersalah akan menerima hukuman maksimum.
Kejadian juga berlaku beberapa hari sebelum keputusan perbicaraan pembunuhan mantan Perdana Menteri, Rafik Hariri pada tahun 2005. Lokasi pembunuhan berkenaan terletak tidak jauh dari tempat letupan berlaku.
Letupan berkenaan hakikatnya berlaku pada waktu yang sukar kerana Lebanon bergelut dengan krisis ekonomi dan kesihatan ekoran pandemik Covid-19 yang sedang melanda dunia. Akhir-akhir ini penentangan penduduknya terhadap pemerintah semakin memuncak ekoran masalah pengangguran, kekurangan kemudahan perubatan dan sebagainya.
Beberapa hospital yang merawat pesakit Covid-19 di Beirut ‘tenat’ apabila dilimpahi mangsa letupan. Ketiadaan bekalan elektrik telah menyebabkan petugas kesihatan terpaksa menggunakan lampu pada telefon bimbit dalam usaha menyelamatkan nyawa.
Memburukkan lagi keadaan, empat buah hospital di Beirut telah mengalami kerosakan teruk akibat letupan sehingga menjejaskan fasiliti pesakit.
“Ketika letupan berlaku, kebanyakan staf kami baru habis tugas. Kami terpaksa panggil mereka kembali.Mereka mempunyai rasa simpati dan prihatin terhadap mangsa. Semangat kemanusiaan ini mampu membantu mengatasi detik sukar ini,” kata Pengarah Urusan Hospital Universiti Rafik Hariri, Firass Abiad.