PARIS – Pemain pilihan ketiga, Aryna Sabalenka dilihat sedia untuk memburu gelaran Grand Slam pertamanya selepas mempamerkan permainan terbaik apabila berjaya menumbangkan Aliaksandra Sasnovich pada Terbuka Perancis awal pagi semalam.
Juara Terbuka Madrid itu tidak berdepan sebarang kesukaran selepas mudah mengatasi Sasnovich dengan kemenangan straight-set 7-5, 6-3 sekali gus berjaya mara ke pusingan ketiga.
Sabalenka yang meraih kejuaraan pertama di gelanggang tanah liat pada saingan di Madrid bulan lalu mengakui dia sentiasa memperbaiki permainannya agar tidak melakukan kesilapan ketika beraksi Roland Garros.
“Saya terus mencuba agar dapat bermain dengan baik dan tidak melakukan sebarang kesilapan. Semua tahu bermain di permukaan tanah liat terutama di Roland Garros bukanlah mudah. Oleh itu, saya melakukan persiapan terbaik dan bekerja keras sebelum melangkah ke kejohanan ini.
“Saya akui pada saingan itu ia bukanlah permainan terbaik saya tetapi saya telah berjuang habis-habisan untuk memastikan saya mampu meraih kemenangan. Setiap pusingan perlawanan sangat sukar dan saya akan cuba yang terbaik pada aksi seterusnya,” kata Sabalenka.
Hasil kemenangan tersebut, Sabalenka dijadualkan berdepan pemain Rusia, Anastasia Pavlyuchenkova yang berjaya mengatasi wakil Australia, Ajla Tomljanovic dengan keputusan 6-2, 6-3.
Sementara itu, juara Wimbledon dua kali, Petra Kvitova pulang hampa apabila terpaksa membuat keputusan menarik diri daripada kejohanan tersebut selepas mengalami kecederaan di pergelangan kakinya.
Kvitova meraih kemenangan di pusingan pertama selepas berjaya mengatasi Greet Minnen 6-7, 7-6, 6-1, namun selepas itu dia mengalami kesakitan di kakinya.– AGENSI