SEBERANG PERAI – Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) menyerahkan kira-kira 6.6 tan daging kerbau sejuk beku yang telah dilucutkan hak kepada Zoo Taiping, Perak dan Penjara Marang, Terengganu.
Penyerahan kepada wakil Zoo Taping dibuat semalam oleh Pengarah Maqis negeri, Noriah Dahlan, manakala beliau turut menyerahkan sebahagiannya kepada wakil Penjara Marang hari ini.
Noriah berkata, penyerahan produk berkenaan yang membabitkan hasil rampasan sejak Mac lalu itu adalah bagi dijadikan makanan haiwan di zoo dan sumber makanan ternakan ikan keli dibawah program pemulihan banduan di penjara terbabit.
“Penyerahan itu membabitkan 414 karton atau 6,620 kilogram daging kerbau sejuk beku dari India bernilai RM52,676.20 yang tidak mematuhi prosedur pengimportan melalui Pelabuhan Pengkalan Kontena Butterworth Utara.
“Penyerahan keluaran pertanian itu adalah salah satu cara pelupusan selepas kita melakukan sitaan dan pelucutan hak mengikut Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728],” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, inisiatif itu diharap dapat membantu pihak berkenaan dari segi menyediakan bekalan sumber makanan kepada haiwan dan ternakan.
“Pihak Maqis prihatin untuk membantu keperluan agensi yang memerlukannya serta memastikan bekalan makanan haiwan yang diimport mencukupi.
“Selain itu, untuk terus memastikan isu-isu yang melibatkan aspek halal, keselamatan makanan, kawalan penyakit serta risiko kemasukan perosak merbahaya yang boleh mengancam industri pertanian dan penternakan negara dapat dikawal,” katanya. – K! ONLINE