PETALING JAYA – Sebanyak lima kawasan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula 5 hingga 18 Jun hadapan.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kawasan berkenaan ialah Rumah Panjang Sigah anak Lak, Sungai Baoh Burak, Dalat, Mukah, Sarawak; Kampung Pengaraban, Kudat dan Kampung Sugud, Penampang, Sabah.
Dua lagi kawasan, menurut beliau ialah di Tawau, Sabah dan Ladang Chin Teck, Muadzam Shah, Rompin, Pahang.
“Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini melaporkan situasi semasa kes COVID-19 melibatkan Rumah Panjang Sigah anak Lak, Sungai Baoh Burak, Dalat, Mukah, Sarawak.
“Berlaku peningkatan kes positif di lokaliti ini apabila sebanyak 37 kes telah direkodkan hasil daripada 87 ujian saringan yang dilakukan oleh
KKM dengan kadar positiviti 42.53 peratus,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengenai PKPD Kampung Pengaraban, Kudat pula, Ismail Sabri berkata, sehingga kini, KKM telah melakukan 24 ujian saringan dan daripada jumlah itu, lapan kes positif telah direkodkan dengan kadar positiviti sebanyak 33.33 peratus.
Mengulas tentang PKPD Kampung Sugud, Penampang, beliau memaklumkan, sehingga kini, KKM telah melakukan 29 ujian saringan dan 12
daripadanya disahkan positif Covid-19.
“KKM mengesahkan berlaku peningkatan kes yang amat ketara dalam masa yang singkat dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi di lokaliti tersebut,” katanya.
Sementara itu, ujar beliau, PKPD di Tawau melibatkan empat lokaliti iaitu Taman Milenium, Taman Wawasan, Kawasan Semarak dan Kampung Jawa Kongsi 10.
“Sehingga kini, KKM telah merekodkan 96 kes positif iaitu 16 kes di Taman Milenium, Taman Wawasan (13), Kawasan Semarak (55) dan Kampung Jawa Kongsi 10 (12),” katanya.
Menurut Ismail Sabri, bagi PKPD Ladang Chin Teck, KKM mendapati berlaku peningkatan kes mendadak dalam masa seminggu iaitu 12 kes positif telah dikesan hasil daripada 223 ujian disaring. – K! ONLINE