fbpx

Suspek diberkas selepas aksi kejar mengejar 20 minit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Suspek yang berusia 34 tahun berjaya diberkas di hadapan sebuah bank di Pekan Lama Petaling Jaya, di sini malam tadi.

PETALING JAYA – Aksi kejar mengejar hampir 20 minit antara kenderaan yang dipandu seorang lelaki dan polis berakhir apabila suspek berjaya diberkas di hadapan sebuah bank di Pekan Lama Petaling Jaya, di sini malam tadi.

Sebaik berjaya menghalang kenderaan dinaiki suspek, polis mengarahkannya keluar menyerah diri, bagaimanapun suspek enggan sebaliknya mengunci pintu dari dalam.

Berikutan itu, polis terpaksa memecahkan cermin tingkap kereta untuk memberkas suspek yang berusia 34 tahun.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, sebelum insiden kejar mengejar berlaku, sepasukan anggota polis dari Cawangan Kereta Peronda (MPV) membuat penugasan ‘snapcheck’ di Jalan 18/16B pada pukul 6.40 petang.

“Anggota polis kemudiannya menahan kereta Proton Saga dipandu suspek dan ketika mahu membuat pemeriksaan, suspek bertindak memecut kereta hingga nyaris melanggar orang awam yang berada di lokasi.

“Polis segera mengejar kereta suspek kira-kira 20 minit sebelum berjaya memberkasnya dan pemeriksaan di dalam kereta turut menemui satu tiub straw disyaki dadah jenis heroin seberat 0.30 gram,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, ketika proses tangkapan, dua anggota polis turut cedera ringan di tangan kiri dan menerima rawatan susulan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Jelas beliau, ujian saringan air kencing yang dijalankan mendapati suspek positif dadah jenis morfin.

“Semakan mendapati suspek mempunyai dua rekod jenayah serta lapan rekod dadah dan suspek direman tiga hari untuk siasatan mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan,” ujarnya.

Terdahulu, tular beberapa video memaparkan suspek memandu dalam keadaan berbahaya dan nyaris merempuh orang awam ketika aksi kejar mengejar antara suspek dan kenderaan polis di Taman Medan, di sini. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI