PUTATAN – Jenazah tiga beradik lemas bersama sepupu dalam kejadian di Pantai Gorongon berhampiran Kampung Contoh, Putatan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Orang-orang Islam Kampung Contoh kira-kira pukul 3 petang tadi.
Tiga beradik yang dikenali sebagai Korais Amit, 8, Noraini Amit, 13, Rafidah Amit,14, serta sepupu mereka Galang Naim,17 dikebumikan dalam dua liang lahat mengikut jantina selepas dimandikan dan disembahyangkan di Masjid As-Salam Kg Contoh, Petagas.
Acara pengebumian hanya dihadiri keluarga terdekat bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.
Sementara itu, ibu kepada salah seorang mangsa, Awalah Antulah, 51, berkata, dia walaupun sedih atas pemergian anaknya namun dia tetap reda dengan ketentuan Allah.
“Memang berat rasa hati untuk terima kehilangan anak namun saya mesti menerimanya kerana ini adalah ketentuan Allah SWT.
“Noraini atau Bibi seorang anak yang patuh dan mendengar cakap orang tua selain begitu penyayang serta peramah dengan jiran tetangga.
“Kehilangan Bibi pasti akan dirasai seluruh keluarga kami” katanya ketika ditemui selepas majlis pengkebumian hari ini.
Awalah adalah ibu tiri kepada dua lagi adik-beradik Noraini iaitu Korais dan Rafidah.
Terdahulu, semua mangsa ditemui lemas selepas mandi di Pantai Gorongon berhampiran Kampung Contoh, Putatan petang Selasa lalu.
Mangsa pertama Norain Amit, 13, ditemui pada pukul 8.20 malam sebelum mangsa kedua, Rafidah Amit, 14, berjaya dinaikkan kira-kira 40 minit selepas itu.
Dua lagi mangsa, Galang Naim,17, dan Korais Amit, 8, ditemui kira-kira pukul 9.30 malam di lokasi tidak jauh dari tempat mereka dihanyutkan. – K! ONLINE