BALIK PULAU – Kira-kira 60 anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya akan bertugas sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketakan (PKPD) di Pekan Bayan Lepas di sini yang bermula esok hingga 17 Jun ini.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintenden A. Anbalagan berkata, penugasan tersebut akan dilaksanakan di 13 lokaliti di Mukim 12 bermula pukul 12.01 tengah malam ini.
Menurutnya, sebanyak dua sekatan jalan raya akan diadakan secara statik di Jalan Kampung Bukit dan Jalan Dato Ismail Hashim.
“Polis juga akan melakukan pemantauan termasuk di laluan tikus yang menghubungkan kawasan Kampung Bukit menuju ke Mutiara Perdana dan Jalan Dato Ismail Hashim melalui laluan denai.
“Kita sudah mengenalpasti laluan singkat penduduk di kawasan itu dan akan membuat penutupan serta rondaan dari semasa ke semasa di lokasi berkenaan,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.
Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pelaksanaan PKPD di 13 lokaliti di pekan Bayan Lepas, Mukim 12, Daerah Barat Daya di sini ekoran 83 kes baharu dikesan dalam masa dua minggu menjadikan keseluruhan 250 kes positif setakat ini. – K! ONLINE