PETALING JAYA – Pelakon Datuk Fizz Fairuz meluahkan kebimbangan apabila golongan peniaga kecil masih dibenarkan berniaga sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) atau ‘total lockdown’, sekali gus khuatir situasi berkenaan akan menggalakkan orang ramai keluar dari kediaman masing-masing.
Perkara tersebut dipersoalkan Fizz atau nama sebenarnya Mohd. Fairuz Zainal Abidin, 41, menerusi satu hantaran Instagram yang turut memuat naik sekeping foto tangkap layar berita bertajuk ‘Penjaja kecil tidak perlu kelulusan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI)’.
Aktor filem Munafik itu bahkan mencadangkan, golongan peniaga kecil sama-sama duduk di rumah selama dua minggu bagi melandaikan semula lekuk kes jangkitan harian Covid-19.
“Nak tanya kejap, kalau buka (benarkan) peniaga kecil ini, agaknya mengalakkan orang keluar membeli ke macam mana?
“Saya hanya tanya, kalau boleh kita PKP sekejap dua minggu. Kita sama-sama susah sekejap kemudian cari rezeki semula. Macam mana, tak begitu?, “ tulisnya dalam entri tersebut.
Pertanyaan tersebut seterusnya mendapat pelbagai reaksi daripada pengikut Instagramnya.
Terdapat yang bersetuju malah ada juga menganggap suami kepada pelakon Almy Nadia itu tidak memahami kesusahan yang bakal dihadapi peniaga kecil sekiranya tidak berniaga.
“Sembang memang mudah, tetapi jika tidak berniaga, manalah nak dapat duit menampung hidup,” komen seorang netizen.
Pandangan Fizz bagaimanapun disahut pelakon Emelda Rosnaida yang turut keliru dengan pendekatan ‘lockdown’ kali ini. Katanya, PKP kali ini dilihat seolah-olah tiada perubahan.
Untuk rekod, pada 2 Jun lalu, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dalam satu kenyataannya berkata, penjaja kecil dibenarkan beroperasi dan hanya perlu menunjukkan permit penjaja yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).
Malah, penjaja kecil di kawasan PBT tidak perlu mendapatkan kelulusan MITI untuk berniaga. – K! ONLINE