fbpx

Kisah 14 tahun HIV positif Billy Porter

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BILLY PORTER

JIKA anda pengikut setia siri televisyen popular berjudul Pose, pasti tiada masalah untuk sebuah karakter ikonik Pray Tell, menembusi ruang pengetahuan. Watak itu dimainkan aktor kulit hitam bernama Billy Porter.

Dalam drama berlatar era 1980-an dan awal 1990-an arahan Ryan Murphy, Brad Falchuk dan Steven Canals tersebut, Porter melakonkan watak seorang pengacara yang teruji kehidupannya dengan human immunodeficiency virus atau HIV.

Ironi, hanya selepas 14 tahun menyimpan rahsia untuk ditelan sendiri, aktor berusia 52 tahun itu secara eksklusif dan buat pertama kali hanya mendedahkan perkara tersebut kepada The Hollywood Reporter (THR) bahawa dalam kehidupan sebenar, dia juga menghidap penyakit berkenaan.

BILLY PORTER percaya, bergelar penghidap HIV bukanlah satu penamat kehidupan. Realiti itu membuatkan dirinya terus bersemangat untuk membuktikan hidup harus terus berjalan seperti biasa.
– THE HOLLYWOOD REPORTER

Titik hitam

“Saya dapat tahu (menghidap HIV) pada 2007, itu tahun paling buruk dalam kehidupan saya. Pada Februari, saya didiagnos penyakit diabetes tahap dua. Bulan berikutnya, saya muflis.

“Dan pada Jun, saya disahkan positif HIV, 2007 ialah tahun yang semuanya terumbang-ambing,” dedahnya.

Bercerita tentang bagaimana boleh tergerak hati untuk menjalani ujian HIV, pemegang trofi Pelakon Lelaki Terbaik Emmy Award 2019 itu berkata, semuanya terjadi secara kebetulan.

“Saya ada semacam jerawat di bahagian punggung saya dan ketulan itu membesar menjadi semakin keras. Kemudian saya mula berasa sakit. Suatu hari, saya terfikir yang perlu merawat kesakitan itu.

“Saya berkunjung ke sebuah klinik iaitu Callen-Lorde dan bayar sekitar AS$10. Jerawat yang membuatkan saya rasa sakit itu sudah pecah dan saya pun buat ujian darah.

“Doktor datang kepada saya. Dia renung muka saya dan saya mula tertanya-tanya. Dia perlahan-lahan duduk di kerusinya dan saya terus dapat agak dan kata, ‘oh tidak’.

“Doktor itu cakap, hasil ujiannya saya didapati positif,” katanya seraya menghembus nafas lega saat bercerita hal sebenar kepada penulis THR yang bertugas.

Untuk satu tempoh lama, penyakitnya diketahui beberapa orang terdekat, tetapi tidak ibu kandungnya sendiri.

“Saya hanya mahu menjalani kehidupan seperti biasa dan memiliki kerjaya. Saya takut kalau penyakit ini diketahui oleh yang salah, bahana akan menimpa saya.

SELAMA 14 tahun menyimpan rahsia tentang HIV, perkara yang paling sukar untuk dilakukan Billy Porter ialah berkongsi tentang kondisi penyakit dengan ibunya. Ironi, selepas memberitahu si ibu, wanita nombor satu dalam hatinya itu menerima berita duka tersebut dengan jiwa tenang.

Diskriminasi

“Itu boleh jadi satu lagi jalan buat orang luar terus mendiskriminasi saya dalam kerjaya yang sudah pun didiskriminasi. Jadi, saya malas fikir tentang hal itu. Saya nak hidup sama seperti orang biasa.

“Bagaimanapun, kuarantin disebabkan permasalahan Covid-19 yang melanda dunia membuatkan saya berfikir panjang dan lebih mendalam. Semua orang diminta untuk duduk rumah dan senyap.

“Saya tak pernah ada masa untuk fikir tentang penjagaan diri atau hal seperti itu sebelum ini.

“Saya hanya menjalani kehidupan seperti biasa. Covid bagi saya ruang selamat untuk berhenti, reflek dan berdepan dengan trauma dalam hidup,” katanya.

KATA Porter, andai ada pihak yang enggan bekerjasama atau menawarkan peluang lakonan disebabkan status kesihatannya, pihak itu tidak berbaloi untuk dihulurkan jabat tangan.

Lebih sihat

Kehidupan yang sebelum ini penuh dengan sinaran mentari digelapkan dengan satu realiti pahit ibarat awan gelap yang sentiasa mengekori dirinya.

Kemajuan dunia perubatan hari ini membuatkan HIV tidak lagi menjadi ‘tali gantung’ buat mana-mana penghidapnya.

Sesiapa yang dijangkiti HIV kini memperoleh peluang hidup normal dan bertahan selama hayat sebagaimana orang yang sihat. Tinggal lagi, harus ada rawatan dan disiplin. Perkara tersebut diakui Porter.

“Sebagai seorang lelaki kulit hitam, kita perlu hidup paling sempurna atau kita akan terbunuh. Tengok saya sekarang, saya ada penyakit ini tetapi saya sudah terima hakikat.

“Ini realiti penyakit HIV sekarang. Saya akan mati disebabkan penyakit lain dahulu, bukan daripada virus ini.

“Sel darah putih (sistem imunisasi) saya dua kali tinggi daripada anda disebabkan ubat yang saya ambil.

“Saya jumpa doktor setiap tiga bulan sekali. Saya berasa sangat sihat dan saya tahu apa yang sedang berlaku dalam badan saya,” luah Porter yang tersenarai sebagai antara 100 Manusia Paling Berpengaruh Dunia oleh majalah Time tahun lalu.

TERKENAL dengan watak Pray Tell dalam siri televisyen Pose, Porter kembali untuk musim terakhir yang kini sedang ligat ditayangkan menerusi saluran FX.

Sebelum menggulung perbualan, getus Porter, berdepan dengan kebenaran akan membuatkan sesiapa yang sakit lebih sihat dan akan sembuh.

“Kebenaran ialah penyembuhan. Saya berharap pendedahan ini membebaskan saya. Saya mahu jalani hidup tanpa rasa malu dengan stigma orang.

“Tiada lagi rasa takut atau was-was. Saya juga sudah beritahu ibu saya dan itu adalah cabaran yang paling besar buat saya.

“Saya tidak pedulikan apa yang orang lain akan cakap. Sama ada anda bersama saya atau sila berlalu pergi dari jalan hidup saya,” luah aktor yang setiap baris dialognya akan menjadi ingatan setiap kali episod baharu Pose bersiaran.

Untuk rekod, Pose musim ketiga kini hangat ditayangkan menerusi saluran FX. Siri televisyen yang turut dibintangi pelakon hebat seperti Mj Rodriguez sebagai Blanca Rodriguez-Evangelista dan Dominique Jackson (Elektra Evangelista) itu sudah memasuki siri terakhir.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI