fbpx

Penembusan Terowong Dungun ECRL enam bulan awal dari jadual

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebahagian daripada kakitangan ECRL memegang kain rentang selepas kerja penembusan Terowong Dungun selesai dilakukan enam bulan lebih awal daripada jadual sebenar.

PETALING JAYA – Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) mencatat satu lagi pencapaian utama menerusi penembusan Terowong Dungun, Terengganu pada 29 Mei lalu, enam bulan le­bih awal dari jadual asal.

Penembusan terowong sepanjang 871 meter itu hasil kira-kira 641,520 jam masa bekerja dengan pelaksanaan kaedah gerudi dan letup terowong menembusi batu schist luluhawa sederhana.

Memiliki ketinggian 11.8 meter dan 12.9 meter lebar, Terowong Dungun dibina untuk mengelak penebangan terbuka, seterusnya memelihara hutan simpan me­rentasi kawasan Kuala Dungun.

Pengerusi Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRL), Tan Sri Mohd. Zuki Ali berkata, kerja-kerja ke­seluruhan infrastruktur untuk te­rowong berkenaan dijangka siap sepenuhnya menjelang suku ke­dua tahun 2022.

“Usaha kira-kira 100 warga kerja ECRL termasuk jurutera, perancang dan pekerja pembinaan di Terowong Dungun harus dipuji kerana kerja-kerja me­ngorek terowong dan mengeluarkan 98,111 meter padu tanah dan batuan berjaya dilakukan secara selamat dengan pergerakan ta­nah yang minimum,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam.

MRL, sebuah syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc.) adalah pemilik projek dan aset ECRL.

Menurut Mohd. Zuki, projek ECRL mempunyai 58 buah te­rowong dengan panjang dan lanskap yang berbeza di sepanjang seksyen jajaran ECRL yang me­rangkumi 665 kilometer panjang.

Beliau optimis kerjasama padu dan perkongsian pengetahuan antara MRL dengan kontraktor kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan serta pelaksanaan projek, China Communications Construction (ECRL) Sdn. Bhd. akan melancarkan lagi kerja penggalian terowong serta memastikan prestasi kejuruteraan adalah seperti yang dijadualkan atau lebih awal.

“Kami bangga kerana projek ECRL masih mencapai tahap kemajuan lebih awal dari jadual, iaitu 22.62 peratus pada bulan Mei 2021 walaupun dalam kea­daan pandemik yang telah mengurangkan waktu bekerja dan tenaga kerja di tapak pembinaan,” tambahnya.

Dijangka siap sepenuhnya pada bulan Disember 2026, projek ECRL merentasi Kelantan, Terengganu dan Pahang sebelum menghubungkan ke Lembah Klang.

ECRL menjimatkan masa perjalanan dan menghubungkan Kota Bharu dengan Gombak dalam masa empat jam.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI