PETALING JAYA – Pelakon Farid Kamil tidak menyangka lebih 20 tahun berkecimpung dalam dunia lakonan, dia hampir menyamai rekod seniman ulung negara, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.
Farid atau nama sebenarnya, Farid Kamil Zahari, 40, berkata, ketika ini dia baru menyedari bahawa dia sudah berlakon sebanyak 60 buah filem. Lagi enam buah filem lagi dia akan menyamai rekod Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.
“Saya sedar ini satu perjalanan yang panjang, daripada tak tahu apa-apa, masuk universiti sehinggalah didedahkan dengan perfileman.
“Apabila itu berlaku, pada saya hero filem Malaysia ini sejauh mana mampu bertahan, itu adalah berbalik kepada rezeki masing-masing,” ujarnya yang berhasrat mahu berlakon 100 buah filem.
Sehubungan itu, suami kepada aktres Diana Danielle itu memaklumkan dia sudah bersedia untuk bersara sebagai seorang pelakon pada bila-bila masa sahaja.
Farid berkata, ia bukanlah disebabkan ‘ haters’ atau kontroversi yang berlaku atas dirinya tetapi atas alasan perjalanan kerjayanya yang cukup panjang dalam sebagai seorang pelakon.
“Saya bersedia untuk bersara bila-bila masa, kalau tidak diperlukan lagi apakan daya. Sebagai seorang pelakon modal kita adalah pada instrumen iaitu tubuh badan kita.
“Kalau kita tak mampu memberikan alunan atau getaran sama bermakna di situlah titik yang menjadi antara pemisah antara saya bersara atau tidak,” jelasnya.
Farid bakal muncul dalam drama terbaharu adaptasi novel, Masih Ada Cinta bergandingan dengan pelakon jelita, Mimi Lana.
Diarahkan oleh Osman Ali, drama berkenaan turut dibintangi Dayang Areeda, Halim Radzi, Fahmy Reza dan Aishah Ilias itu telah mula ditayangkan mulai hari ini (2 Jun) pada pukul 7 malam tadi di TV3. – K! ONLINE