fbpx

Peniaga pasar malam beralih bidang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebahagian besar peniaga pasar malam di Pulau Pinang kini terpaksa gulung tikar dan mencari pekerjaan lain akibat tidak mampu lagi berdepan dengan bebanan hutang. – Gambar hiasan

GEORGE TOWN – Kira-kira 800 peniaga pasar malam di Pulau Pinang terpaksa gulung tikar berikutan tidak sanggup berdepan dengan kekangan kewangan yang teruk ekoran pe­ningkatan kes penularan pandemik Covid-19.

Lebih memeritkan lagi apabila sebilangan besar daripada mereka­ kini terpaksa beralih bidang pekerjaan sebagai pekerja buruh, nelayan serta penghantar surat dan makanan.

Bukan itu sahaja, mereka juga dikatakan telah melelong kelengkapan perniagaan termasuk khemah, meja dan peralatan memasak menerusi iklan di aplikasi grup WhatsApp peniaga dan perkhidmatan e-dagang percuma.

Timbalan Pengerusi Persa­tuan Peniaga-peniaga Melayu Pasar Malam Pulau Pinang, Mohamad Anuar Awang berkata, sebahagian peniaga pasar malam yang berdaftar telah mengambil keputusan menghentikan ope­rasi perniagaan disebabkan tidak sanggup lagi berdepan dengan bebanan hutang.

Menurutnya, banyak rungutan diterima sejak awal tahun lalu sehingga ketika pelaksanaan Pe­rintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dikuatkuasakan.

“Kebanyakan mereka yang berdepan masalah kewangan disebabkan tidak boleh berope­rasi, kini mula beralih arah de­ngan menjadi buruh dan nelayan pantai. Ada juga yang bekerja sebagai pemandu lori, penghantar surat dan makanan.

“Mereka bertindak sedemikian demi meneruskan kela­ngsungan hidup termasuk melangsaikan hutang bagi pembelian rumah, kereta dan pinjaman peribadi,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Mengulas lanjut berhubung Bantuan Khas PKP 3.0 yang di­umumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini, beliau memberitahu, pihak­nya berlapang dada dengan ­pengumuman beberapa bantuan kepada rakyat terutama untuk golongan B40.

“Pembayaran Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) tambahan RM500 sangat diharapkan peniaga­ yang terjejas seperti kami untuk meneruskan kelangsungan hidup termasuk lanjutan moratorium.

“Namun jumlah yang diberikan itu adalah untuk jangka masa pendek. Paling dibimbangkan ketika ini sekiranya PKP penuh dilanjutkan lagi nanti, kami langsung tidak boleh berniaga,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI