PETALING JAYA – Perkongsian rawak suami kepada selebriti Neelofa iaitu Haris Ismail menjemput doa yang baik-baik daripada netizen.
Pemilik nama lengkap Muhammad Haris Mohd. Ismail itu memuat naik sekeping foto memaparkan kepulan awan dan langit yang indah dengan kapsyen indah bertulis ‘hope’ (harapan).
Ramai menitipkan doa agar urusannya dipermudahkan dan ditunjukkan jalan keluar daripada segala kesulitan.
“Jangan pernah mengalah. Hari ini mungkin sukar dan esok akan lagi sukar tapi esok lusa akan hadir sinaran mentari,” tulis seorang netizen.
Dalam banyak komen-komen yang dititipkan itu, terselit juga komen mendoakan agar Haris dan Neelofa lekas dikurniakan cahaya mata.
‘Baby tak lama lagi’, ‘semoga cepat dapat baby’. Itu antara doa baik-baik yang dipanjatkan netizen demi kebahagian pasangan yang terus dihambat dugaan terutama selepas menjawat status suami isteri.
Terdahulu, Haris dan Neelofa didakwa atas pertuduhan tidak membuat imbasan aplikasi MySejahtera atau menulis secara manual nama dan nombor telefon sebelum memasuki premis Kedai Naeem Carpet Sdn Bhd.
Malah, PU Riz juga didakwa tidak memakai pelitup muka di tempat awam iaitu di premis kedai sama dan pada tarikh serta waktu yang sama. – K! ONLINE