Akhbar ini Ahad lalu melaporkan kira-kira 330,000 graduan pada tahun 2020 akan bergelut untuk mendapatkan pekerjaan disebabkan peluang yang begitu terhad pada ketika ini.
Susahnya mendapat kerja kini diibaratkan 100 permohonan kerja oleh seorang penganggur, satu temu duga pun belum tentu akan dapat.
Ramai juga yang beranggapan kalau tidak mempunyai ‘kabel’ dengan orang berkepentingan dalam syarikat itu memang menganggurlah untuk tempoh masa yang lama.
Angka pengangguran sekarang memang cukup besar dan memang meresahkan graduan termasuk bakal graduan dalam tempoh beberapa tahun akan datang, selagi masalah pandemik Covid-19 tiada penghujungnya.
Isu pekerjaan yang terhad ini bukan sahaja merisaukan pelajar yang masih menuntut di universiti, tetapi orang lain yang telah mempunyai pekerjaan.
Syarikat-syarikat besar mahu pun industri kecil dan sederhana mengecilkan operasi perniagaan menyebabkan ramai yang terpaksa diberhentikan kerja secara tiba-tiba.
Jika tidak dibuang kerja pun, ramai pekerja juga terpaksa dipotong gaji mereka bagi mengecilkan kos operasi syarikat.
Ramai yang telah berkeluarga dan mempunyai tanggungan yang besar terpaksa reda apabila hilang pekerjaan dalam sekelip mata disebabkan pengecilan operasi syarikat.
Seorang rakan pernah memberitahu, dia mendapat notis 24 jam diberhentikan kerja dengan alasan pengecilan operasi syarikat.
“Saya ditawarkan sama ada diberhentikan atau berhenti secara sukarela, pihak sumber manusia memberitahu berita sedih ini hanya melalui aplikasi sidang video Zoom,” jelasnya yang masih mencari kerja baharu sejak 3 bulan lalu.
Dia menyatakan bernasib baik kerana tidak mempunyai tanggungan yang besar kerana keretanya baru sahaja habis bayaran ansuran dengan pihak bank dua bulan sebelum diberhentikan kerja.
Dia memilih untuk menerima surat berhenti kerja daripada majikan berbanding berhenti secara sukarela bagi melayakkan diri menerima bantuan Sistem Insurans Pekerja oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial selama enam bulan.
Seorang lagi rakan penulis yang telah mempunyai pengalaman kerja lebih 15 tahun dibuang kerja ketika pandemik Covid-19 pernah berkongsi ceritanya apabila ditawarkan kerja oleh sebuah syarikat dengan gaji RM2,000 sahaja, hampir sama dengan gaji lepasan universiti.
“Memang itulah gaji yang majikan sanggup bayar walaupun kita mempunyai pengalaman berpuluh tahun, mereka (majikan) tidak peduli sama ada kita ada banyak pengalaman, mereka hanya mahu bayar gaji yang murah.
“Kalau kita tidak terima, ramai lagi calon lain yang mereka ada sebab memang ramai orang perlukan kerja zaman sekarang,” ujarnya.
Bagi penulis, hilang pekerjaan bukanlah pengakhiran segala-galanya, rezeki Allah terlalu luas, sama ada kita sebagai hambanya reda atau tidak dugaan yang diberikan.
Hilang kerja dapat mengajar kita erti ‘sesuatu’ sama ada kita sedar atau tidak itulah yang sepatutnya kita dapat ketika diduga sebegitu.