TEHERAN – Sebuah kapal milik tentera laut Iran karam di Teluk Oman hari ini selepas usaha memadamkan kebakaran gagal tetapi semua krunya dapat diselamatkan, kata Teheran.
Kapal tangki tentera, Kharg terbakar dekat Pelabuhan Jask di Teluk Oman semalam.
“Api bermula di salah satu sistem kapal,” kata tentera laut Iran dalam satu kenyataan tanpa mengulas lanjut.
Menurutnya, usaha memadamkan api berterusan selama 20 jam sebelum kapal itu tenggelam.
“Api yang marak dan cepat merebak mengakibatkan usaha menyelamatkan Kharg gagal dan kapal itu tenggelam di luar Pelabuhan Jask,” kata kenyataan tersebut.
Kapal itu belayar untuk menyertai misi latihan tentera di perairan antarabangsa beberapa hari lalu.
Pada tahun lalu, sebuah kapal tentera laut Iran terkena bedilan tenteranya sendiri semasa latihan tentera di luar perairan Jask, menyebabkan 19 kru kapal itu terbunuh.
Pelabuhan Jask terletak berhampiran Selat Hormuz yang merupakan laluan utama perkapalan dunia. Sebanyak satu perlima eksport minyak dunia melalui Selat Hormuz. – AFP