SELAYANG – Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan membuat penghantaran komunikasi palsu dalam Facebook berhubung kehilangan jongkong emas lebih 200 kilogram (kg) di sebuah kuil.
Tertuduh D.Arumugam,51, yang bekerja sendiri membuat pengakuan tidak bersalah itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Nur Rajiah Mat Zin.
Mengikut pertuduhan, Arumugam didakwa telah menggunakan aplikasi laman sosial Facebook ‘Arun Dorasamy’ secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang palsu dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain pukul 4.27 petang pada 6 Februari 2020.
Hantaran itu kemudian dibaca pada 23 Februari 2020 pukul 9 pagi di Pejabat Kuil Batu Caves, Gombak di sini.
Sementara itu di mahkamah sama, seorang wanita turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan membuat penghantaran komunikasi bersifat ancaman berhubung isu sama.
R.Thanaletchimy, 63, didakwa memulakan penghantaran komunikasi yang mengancam sifatnya kepada satu kumpulan Whatsapps dalan bahasa Tamil dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain pukul 2.27 petang pada 11 Februari 2020.
Hantaran itu kemudian dibaca pada hari sama pukul 2.30 petang di pejabat kuil yang sama.
Berikutan itu, kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum dibawah Seksyen 233(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Mahkamah kemudian membenarkan setiap tertuduh diikat jamin sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin dan tarikh 1 Julai ini ditetapkan sebutan semula kes. -K! ONLINE