PETALING JAYA – Seramai 1,104,873 individu di negara ini telah lengkap menerima dos kedua vaksin Covid-19 sehingga semalam.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba menerusi akaun Twitternya berkata, jumlah keseluruhan pemberian vaksin Covid-19 setakat semalam ialah sebanyak 3,107,218 dos.
“Jumlah individu yang menerima dos pertama ialah 2,002,345 manakala penerima dos kedua sebanyak 1,104,873 menjadikan jumlah keseluruhan pemberian dos pertama dan kedua di negara ini sebanyak 3,107,218 setakat semalam.
“Selangor mendahului jumlah individu yang telah melengkapkan kedua-dua dos dengan 143,797 diikuti Sarawak (111,176), Perak (105,014), Kuala Lumpur (99,538) dan Johor (97,798),” katanya di sini hari ini.
Tambahnya, bagi jumlah kumulatif pemberian dos vaksin pertama didahului Kuala Lumpur dengan 340,690 dos, diikuti Selangor (285,214), Sarawak (194,936), Johor (186,858) dan Perak (161,295).
“Bagi jumlah pendaftaran, seramai 12,414,513 individu atau 51.20 peratus telah mendaftar. Negeri Selangor mencatatkan jumlah pendaftaran tertinggi dengan 3,299,145 individu diikuti Johor (1,533,936) dan Sarawak (1,239,586).
Mengikut perancangan program imunisasi berkenaan, tempoh pelaksanaan fasa pertama pemberian vaksin yang bermula Februari hingga April ini akan melibatkan 500,000 anggota barisan hadapan termasuk petugas kesihatan.
Program tersebut akan diteruskan bagi fasa kedua yang dijangka bermula April hingga Ogos tahun ini melibatkan 9.4 juta warga emas berusia 60 tahun ke atas serta kumpulan rentan dengan masalah morbiditi selain orang kurang upaya.
Sementara fasa ketiga yang dijadualkan bermula Mei hingga Februari 2022 adalah untuk kumpulan individu berusia 18 tahun dan ke atas dengan sasaran kira-kira 14 juta orang. – K! ONLINE