KANGAR – Seorang suri rumah dituduh di Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana menyebar berita tidak benar menggunakan aplikasi WhatsApp yang boleh mendatangkan kebimbangan kepada orang awam pada 18 April lalu.
Tertuduh, Norjannah Rusli, 28, merupakan individu pertama di negeri ini dituduh di bawah Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021 sejak berkuat kuasa pada 11 Januari lalu.
Ibu kepada dua orang anak yang mengandung 28 minggu itu membuat pengakuan bersalah sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Musyiri Peet.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa memuat naik status yang merupakan berita palsu di aplikasi WhatsApp menggunakan nombor telefon yang didaftarkan atas namanya dengan niat untuk menyebabkan ketakutan atau kebimbangan kepada orang awam.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Kampung Belukar, Arau kira-kira pukul 10.31 pagi, 18 April lalu.
Musyiri kemudian menjatuhkan hukuman denda RM5,000 atau penjara selama lima bulan jika tertuduh gagal membayar denda dikenakan, bagaimanapun dia membayar denda berkenaan.- K! ONLINE