PELUMBA bintang meningkat naik, Muhammad Hakim Danish Ramli yang melakukan kejutan pada Kejohanan Idemitsu Asia Talent Cup (ATC) terus diberi kepercayaan apabila akan bersaing pada perlumbaan European Talent Cup (ETC) di Barcelona-Catalunya, Sepanyol pada 13 Jun ini.
Pelumba yang baru menginjak usia 14 tahun tahun tersebut akan menyertai rakan sepasukannya, Sharul Ezwan untuk bersaing bersama pasukan Liqui Moly Intact SIC Racing Team selepas meraih tiga penyudah podium pada saingan ATC.
Teruja dengan keputusan tersebut, Hakim Danish mengakui bersedia untuk mengutip pengalaman terbaik selepas diberikan peluang oleh Litar Antarabangsa Sepang (SIC) untuk bersaing di bumi Eropah.
“Saya sangat teruja selepas diberi peluang untuk bersaing pada ETC. Saya tidak sabar untuk bersaing dengan pelumba Eropah lain bersama rakan sepasukan, Sharul Ezwan.
“Saya juga ingin mengucapkan penghargaan kepada penaja saya, terutamanya IntactGP dan SIC. Saya yakin akan meraih pengalaman berharga selepas diberikan peluang yang luar biasa ini,” katanya.
Sementara itu, pengurus pasukan SIC Racing, Zulfahmi Khairuddin percaya dengan aksi luar biasa pada ATC menjadi peluang terbaik buat Hakim Danish melebarkan pengalamannya.
“Hakim adalah seorang pelumba berbakat negara dan dia telah meraih tiga podium dalam saingan ATC. Jadi, saingan pada ETC ini adalah satu platform untuk beliau menimba pengalaman berlumba dengan pelumba terbaik Eropah di litar Eropah.
“Kami yakin beliau mampu menamatkan perlumbaan dengan baik dan membuatkan kami berbangga sebagai rakyat Malaysia,” katanya.
Kehadiran Hakim Danish dalam ETC sekali gus menyaksikan terdapat empat pelumba berbakat negara akan bertanding pada Kejohanan CEV Repsol iaitu Adam Norodin (Moto2), Syarifuddin Azman (Moto3) dan Sharul Ezwan (ETC).