BEKAS Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menjadi watak penting dalam usaha memujuk pemain berdarah kacukan Malaysia-Belgium yang berpangkalan di Eropah, Dion Cools untuk mewakili skuad Harimau Malaya.
Perkara itu didedahkan oleh Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingan yang mengakui Tunku Ismail yang juga pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) memainkan peranan dalam memastikan Cools hadir menguatkan skuad kendalian Tan Cheng Hoe yang mengharungi tugas getir ketika ini.
“Junjung kasih juga kepada Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang juga Tunku Mahkota Johor kerana baginda memainkan peranan cukup penting dalam meyakinkan Dion Cools untuk memilih Malaysia sebagai pasukan negara yang ingin diwakilinya di peringkat senior,” kata Stuart dalam satu kenyataan semalam.
Cools secara rasminya didedahkan sebagai pemain ke-26 Harimau Malaya selepas tiba di Dubai kelmarin untuk menyertai skuad kebangsaan yang sedang melakukan persiapan untuk mengharungi baki saingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 yang bermula awal pagi Jumaat ini.
Selain itu, Stuart mengakui proses mendapatkan kelulusan daripada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan Konfederasi Bolasepak ASia (AFC) berlangsung cukup panjang susulan Cools sebelum ini pernah beraksi bersama skuad remaja Belgium.
“Bagi mendapatkan perincian mengenai perlawanan Cools bersama pasukan bola sepak Belgium, FAM beberapa kali menghantar surat secara rasmi kepada Persatuan Bola Sepak Belgium (RBFA).
“Selepas membuat penelitian terhadap asas-asas yang diguna pakai dan dokumen berkaitan, Jawatankuasa Status Pemain FIFA akhirnya membuat keputusan untuk meluluskan permohonan FAM.
“Selepas itu, FAM dengan segera mendaftarkan nama Cools dalam senarai awal pendaftaran pemain bagi kelayakan dan selepas ia diluluskan FIFA dan AFC, barulah FAM boleh mengumumkan secara rasmi Cools sebagai pemain negara,” katanya.