KHARTOUM, Sudan – Lebih 50,000 penduduk terjejas akibat kejadian banjir di seluruh Sudan sejak seminggu lalu, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam.
“Hujan turun mencurah-curah secara berterusan di beberapa bahagian Sudan, menyebabkan kejadian banjir, tanah runtuh, membawa kerosakan ke atas kediaman dan infrastruktur di sekurang-kurangnya 14 daripada 18 negeri.
“Lebih 50,000 penduduk terjejas. Jumlah ini dijangka terus meningkat,” menurut kenyataan Pejabat Penyelaras Hal Ehwal Kemanusiaan PBB (OCHA).
Menteri Dalam Negeri, Eltrafi Elsdik berkata, sekurang-kurangnya lima orang terkorban dan hampir 3,500 buah kediaman rosak akibat bencana banjir sejak minggu lalu.
Hujan lebat lazimnya berlaku di Sudan antara bulan Jun dan Oktober, menyebabkan kejadian banjir. Hujan pada minggu lalu menyebabkan kejadian empangan pecah di negeri Blue Nile, memusnahkan lebih 600 buah rumah.
“Tahun lalu, kami ada lebih 400,000 orang terjejas sepanjang musim banjir,” kata jurucakap OCHA di Sudan, Saviano Abreu. – AFP