SABAK BERNAM – Polis sedang mengesan beberapa individu yang dipercayai meloloskan diri dalam merentas daerah menggunakan laluan sawah di Jalan Bendang, Parit 4, Sekinchan di sini.
Ini susulan penularan beberapa keping gambar di laman sosial Facebook memaparkan aksi mereka dengan menunggang motosikal yang seterusnya mendapat kecaman di kalangan netizen.
Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Agus Salim Mohd. Alias berkata, pihaknya sebelum ini telah mengarahkan laluan tersebut yang merupakan antara jalan tikus ditutup bagi mengelakkan ia digunakan orang awam bagi memasuki daerah ini.
Katanya, pihaknya akan menambahkan halangan bagi mengelakkan kes tersebut berulang.
“Kita akan kesan dan mengenalpasti individu-individu tersebut yang cuba merentas daerah di sekitar Sekinchan.
“Saya tegaskan ini bukan melibatkan kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang dilaksanakan di Taman Pertama, Taman Serendah dan Taman Prima,” katanya ketika dihubungi Kosmo! sebentar tadi.
Terdahulu, tular beberapa keping gambar menunjukkan aksi beberapa individu dengan menunggang motosikal merentas daerah sehingga melalui kawasan sawah bagi melintasi halangan yang dibuat pihak polis.
Tindakan tersebut mendapat kecaman netizen apabila perbuatan itu boleh menyebabkan peningkatan kes Covid-19 dan minta mereka tidak menyalahkan pihak berkuasa sekiranya tindakan dikenakan nanti.
“Kena saman, kena kompaun jangan minta simpati ya, adik. Suruh duduk rumah sahaja, bukan suruh berperang,” kata seorang netizen bernama Cik Syu. – K! ONLINE