PETALING JAYA – Tenaga Nasional Berhad (TNB) akan meneruskan operasi pembacaan meter dan Kedai Tenaga (KT) sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh fasa pertama selama dua minggu bermula 1 hingga 14 Jun.
TNB dalam satu kenyataan berkata, operasi itu akan dijalankan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan bagi mengekang penularan wabak Covid-19.
“Pembacaan meter dan penyerahan bil fizikal berjalan seperti biasa bagi memastikan pengguna menerima bil sebenar dan bukan bil anggaran.
“Manakala operasi KT pula akan dipendekkan tiga jam daripada pukul 9.00 pagi hingga 4.00 petang kepada bermula 9 pagi sehingga 1 tengah hari sahaja.
“Manakala, waktu operasi perkhidmatan kios layan diri di KT kami kekal dari pukul 8.15 pagi hingga 8 malam dan kios kami akan disanitasi setiap dua jam berbanding setiap empat jam sebelum ini,” jelasnya.
Katanya, berikutan tempoh KT operasi dengan tempoh yang lebih pendek, operasi perkhidmatan khidmat pelanggan TNB CareLine dilanjutkan dua jam setiap hari dari pukul 8 pagi hingga 7 petang berbanding sehingga 5 petang sebelum ini.
“Pelanjutan tempoh ini adalah untuk talian TNB Careline 1-300-88-5454 dan e-mel [email protected] yang dikhususkan untuk pertanyaan berkaitan akaun dan bil.
“Untuk gangguan bekalan elektrik pula, para pengguna diminta menghubungi TNB CareLine di 15454 dan Facebook TNB CareLine yang kekal beroperasi 24 jam.,” katanya.
Katanya, walaupun KT masih dibuka sepanjang fasa pertama PKP penuh ini, pengguna amat digalakkan untuk menggunakan kemudahan transaksi dalam talian TNB bagi sebarang urusan transaksi termasuk semakan dan pembayaran bil.
Transaksi itu boleh dibuat menerusi portal www.mytnb.com.my dan aplikasi myTNB agar dapat mengurangkan keperluan untuk transaksi secara bersemuka. – K! ONLINE