fbpx

Cuepacs sokong manifestasi solidariti penjawat awam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menyokong manifestasi solidariti penjawat awam bagi menyalurkan sedikit sumbangan kepada Akaun Amanah Bencana selama tiga bulan.

Presiden Cuepacs, Adnan Mat berkata, ianya susulan kenyataan daripada Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali sebagai tanda kebersamaan para penjawat awam dalam menyokong usaha kerajaan memerangi dan melandaikan keluk jangkitan pandemik Covid-19.

“Melalui solidariti ini, sebahagian Imbuhan Tetap Keraian (ITK) bagi Pengurusan Tertinggi dan Gred 44 hingga Gred 56, serta Imbuhan Tetap Khidmat Awam (ITKA) bagi Gred 29 hingga Gred 41 yang dinikmati oleh penjawat awam pada masa kini akan disumbangkan kepada Akaun Amanah Bencana.

“Sumbangan dari lebih 800,000 penjawat awam (tidak termasuk frontliners serta penjawat awam Gred 1 hingga Gred 28) adalah dianggarkan berjumlah lebih RM30 juta,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, inisiatif tersebut disambut baik oleh semua kakitangan kerajaan yang terlibat.

“Saya percaya ramai penjawat awam melibatkan diri dalam memberi sumbangan dan bantuan kepada golongan yang memerlukan sama ada melalui badan bukan kerajaan (NGO), pusat zakat atau secara persendirian walaupun inisiatif ini tidak dilaksanakan.

“Bagi penjawat awam yang tidak terlibat dengan inisiatif tersebut, mereka tetap meyumbang kepada rakyat dan negara sama ada melalui bentuk kewangan atau pun tenaga mereka,” ujarnya.

Jelasnya, beliau menyeru semua pihak untuk terus bersama dengan rakyat dan kerajaan di dalam usaha memerangi wabak Covid-19 semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

“Kebersamaan setiap masyarakat merupakan kunci utama dalam kejayaan kita melandaikan keluk jangkitan Covid-19.

“Diharapkan sektor-sektor ekonomi yang dibenarkan beroperasi kekal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan sepanjang tempoh PKP penuh ini,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI