fbpx

Sultan Nazrin zahir dukacita atas pemergian Harussani

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

IPOH – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menzahirkan dukacita atas pemergian Mufti Perak, Allahyarham Tan Sri Harussani Zakaria yang telah dianggap Baginda seperti ayahandanya sendiri.

Sultan Nazrin bertitah, sepanjang berkhidmat sebagai Mufti Perak, Allahyarham sentiasa menyembah pandangan dan nasihat bagi memandu baginda untuk memenuhi amanah selaku Ketua Agama Islam Negeri.

“Beta menerima berita sedih kembalinya ke rahmatullah saudara tua beta pada pukul 2.45 petang, 18 Syawal 1442 bersamaan 30 Mei 2021.

“Allahyarham telah memberikan khidmat bakti sebagai mufti kerajaan Perak hampir 36 tahun bermula tahun 1985.

“Pengalaman peribadi yang amat beta kenangi adalah bimbingan bersifat keayahan Allahyarham semasa mengiringi beta menunaikan Rukun Haji pada tahun 2003,” titah baginda dalam satu warkah takziah kepada isteri Allahyarham, Puan Seri Ainon Abdul Ghani hari ini.

Baginda bertitah, semasa hayat Allahyarham, beliau sentiasa memperlihatkan sifat kesetiaan yang tinggi terhadap raja pemerintah dan amat memelihara tata adab serta kesopanan bagi memulia dan mendaulatkan penggunaan Raja Berperlembagaan.

Titah baginda, Allahyarham turut mempamerkan sifat seorang ulama, ilmuwan, pendidik dan pendakwah yang menjunjung amanah dan tanggungjawab dengan penuh komitmen serta dedikasi.

“Ketokohan Allahyarham yang berusaha sedaya mungkin mengembangkan syiar Islam menjadikan beliau sebagai seorang tokoh Islam yang dihormati, disegani lagi disayangi,” titah Baginda.

Sultan Nazrin juga menyifatkan pemergian ulama tersohor itu merupakan kehilangan besar kepada Dewan Negara Perak dan Negeri Perak Darul Ridzuan. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI