TOKYO – Pelancong dari Malaysia dan Vietnam yang memasuki Jepun dikehendaki menjalani kuarantin selama enam hari di lokasi-lokasi yang ditetapkan kerajaan negara itu, lapor agensi berita Kyodo News hari ini.
Menurut sumber, langkah tersebut bertujuan untuk mengawal sempadan negara itu bagi menghalang penularan lebih banyak varian Covid-19.
Selain itu, Jepun turut menetapkan arahan kuarantin selama 10 hari bagi pelancong dari Afghanistan dan tiga hari untuk mereka yang tiba dari Thailand serta beberapa negeri di Amerika Syarikat.
Buat masa ini, Jepun telah melaksanakan larangan perjalanan ke atas 159 negeri dan wilayah serta menyekat kemasukan warganegara asing termasuk mereka yang mempunyai status penduduk, yang telah pergi ke negara-negara tersebut dalam tempoh dua minggu lepas, kecuali dalam keadaan tertentu. – AGENSI