KOTA TINGGI – Berbeza dengan kanak-kanak lain seusianya yang mampu menyuap sendiri makanan, Muhammad Aqiel Asyraaf Zamri, 10, pula hanya mampu bergantung pada tiub yang disambung dari hidung untuk mengalas perutnya setiap hari.
Ibunya, Parini Masiran, 49, berkata, tiub sepanjang setengah meter itu digunakan untuk Muhammad Aqiel minum susu khas tiga jam sekali pada setiap hari.
Katanya, hanya susu menjadi makanan ruji buat Muhammad Aqiel memandangkan kanak-kanak itu tidak boleh makan makanan lain terutamanya nasi.
Parini berkata, sejak lahir, Muhammad Aqiel terpaksa bernafas melalui lehernya yang ditebuk berikutan mengalami masalah saluran pernafasan sempit serta penyakit paru-paru kronik.
“Dia juga sebelum ini bergantung hidup dengan bekalan oksigen daripada tangki khas yang kami perlu bawa ke mana-mana. Alhamdulillah, kini dia semakin sihat, lehernya yang ditebuk juga ditutup.
“Tiub itu dimasukkan melalui hidung sehingga ke ususnya. Tiub itu seolah-olah macam rakan karibnya dan sentiasa lekat di pipi.
“Jika tercabut, saya kena pasang balik,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Sri Saujana di sini semalam.
Parini yang juga Pengerusi Kelab Permata Syurga Johor berkata, menjaga anak istimewa memang penuh dengan cabaran dan memerlukan kesabaran yang tinggi.
“Apabila kita ada anak istimewa, ini bermakna kehidupan kita turut berubah kerana pergerakan tidak seperti ibu-ibu yang ada anak yang normal.
“Muhammad Aqiel perlu diberi susu setiap tiga jam, setiap kali beri minum ambil masa 45 minit. Jika perjalanan jauh, kami akan berhentikan kereta di tepi jalan untuk beri dia susu,” katanya.-K! ONLINE