Oleh YATIMIN ABDULLAH
TUMPAT – Sekumpulan penyeludup daun ketum bertindak nekad dengan merempuh bot Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Pengkalan Kubor untuk meloloskan diri sewaktu serbuan di pangkalan haram Haji Rashid, Sungai Mentua di sini tengah malam tadi.
Bagaimanapun, suspek yang bertindak merempuh bot itu berjaya meloloskan diri ke kawasan semak berhampiran.
Pengawai Pemerintah PPM Wilayah Tiga Pengkalan Kubor, Asisten Superitanden Mohd. Rudzuan Ahmad berkata, pihaknya berjaya merampas 250 kilogram (kg) daun ketum yang cuba diseludup ke negara jiran menggunakan laluan tikus.
“Semasa melakukan rondaan rutin, anggota PPM Wilayah Tiga Pengkalan Kubor telah mengesan pergerakan sebuah bot enjin galah dari arah jambatan Pulau Ular.
“Semasa kita melakukan pemeriksaan, pemandu bot itu telah bertindak merempuh bahagian tepi bot milik PPM,” katanya.
Mohd. Rudzuan memberitahu, sewaktu rempuhan, suspek telah bertindak melarikan diri ke kawasan tebing pangkalan haram Haji Rashid sebelum menyelinap masuk ke dalam semak.
Katanya, pemeriksaan lanjut terhadap bot berkenaan membawa kepada penemuan sebanyak 250 kg daun ketum.
“Kesemua barangan rampasan termasuk bot dibawa ke markas untuk siasatan lanjut dan kes disiasat bawah Akta Racun 1952,” ujarnya.- K!ONLINE